Balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid tiba di perkarangan mahkamah bagi sebutan rujukan isu perlembagaan berkaitan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid merangka persoalan undang-undang bagi menentukan kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu pihak media, notis rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan pada 27 Ogos.

Pendakwaan tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Ogos lalu yang membenarkan balu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya merangka persoalan undang-undang.

Hakim K. Muniandy ketika memutuskan demikian turut membenarkan permohonan peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar agar permohonan Na’imah membentuk persoalan undang-undang itu untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, didengar di hadapan beliau.

Hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan tersebut (membentuk persoalan undang-undang), namun Wan Shaharuddin memohon penangguhan atas alasan pihaknya sudah memfailkan notis rayuan.

Selain itu, pihak pendakwaan memohon masa untuk menjawab afidavit balasan yang diserahkan oleh pasukan peguam pada Jumaat lalu.

Hakim Muniandy kemudian membenarkan penangguhan prosiding bagi membolehkan pendakwaan memfailkan afidavit jawapan dan menetapkan 8 Oktober ini untuk mendengar permohonan penangguhan.

Dalam permohonan difailkan pada 10 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan alasan bahawa wujud keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah menggantung prosiding sehingga pelupusan di Mahkamah Rayuan.

Melalui afidavit yang diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry, pendakwaan menyatakan, jika rayuan dibenarkan, maka perintah Mahkamah Tinggi pada 21 Ogos lalu akan terbatal.

Afidavit itu menyatakan, terdapat kepentingan awam dalam rayuan di Mahkamah Rayuan yang mewajarkan prosiding di Mahkamah Tinggi, digantung sementara.

Pada 21 Ogos lalu, Hakim Muniandy berpendapat, tindakan Na’imah bukan sesuatu yang remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah kerana isu perlembagaan yang dibangkitkan memerlukan campur tangan dan diperhalusi oleh Mahkamah Persekutuan.

“Dalam hal ini, keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya, wajar diperbetulkan kerana ia merupakan cabaran perundangan yang penting.

`Isu yang dibangkitkan memberi kesan mendalam terhadap hak individu yang dipanggil sebagai saksi, termasuk pemohon dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya Hakim Muniandy.

Persoalan undang-undang yang dibentuk menyentuh isu perlembagaan antaranya hak individu untuk berdiam diri dan tidak dipaksa mengemukakan keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.

Na’imah telah dituduh sengaja mengabaikan atau gagal mematuhi terma-terma suatu notis bertarikh 8 November 2023 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM.

Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa atas tuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain.

Na’imah didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama.

Harta itu membabitkan Ilham Tower Sdn. Bhd., Ilham Baru Sdn. Bhd., dua Mercedes-Benz, lapan hartanah, sebuah kediaman di Bukit Tunku, enam bangunan, lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr. Ismail di sini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast