Lebih 500 kaki pancing dari seluruh negara dijangka menyertai Cabaran Joran Selangor 2025 yang akan berlangsung 28 September ini di Tasik Bandaran Kelana Jaya. (gambar kecil-Aznan Hassan).

KUALA LUMPUR – Lebih 500 kaki pancing dari seluruh negara dijangka menyertai Cabaran Joran Selangor 2025 yang akan berlangsung 28 September ini di Tasik Bandaran Kelana Jaya.

Pertandingan memancing tahunan itu dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Kembara Media Events dan bakal menjadi antara acara tumpuan dalam kalendar sukan rekreasi serta pelancongan domestik.

Acara itu menawarkan jumlah hadiah tunai melebihi RM25,500. Juara bakal membawa pulang RM10,000, naib juara menerima RM3,000 manakala tempat ketiga akan membawa pulang RM1,000.

Menariknya, hadiah turut ditawarkan hingga ke tempat ke-100 sekali gus membuka peluang kemenangan kepada semua peserta tanpa mengira tahap pengalaman.

Sebagai tambahan, peserta juga berpeluang memenangi tiga unit televisyen 32 inci menerusi cabutan bertuah sepanjang acara berlangsung.

Bagi edisi kali ini, tiga buah tasik utama di Kelana Jaya akan dibuka khas bagi pertandingan memberi lebih ruang dan pilihan kepada para pemancing.

Tasik-tasik tersebut dihuni pelbagai spesies ikan bersaiz mega seperti patin, keli, jelawat, belida dan banyak lagi menjadikannya antara lokasi pilihan utama kaki pancing tegar.

Untuk rekod, pada pertandingan Februari lalu, seekor ikan patin seberat 13.305 kilogram dinobatkan sebagai tangkapan terbaik. Adakah rekod itu mampu dipecahkan Ahad ini?

Menurut Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan, penganjuran acara itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat malah memperkukuh hubungan kekeluargaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat menerusi sektor pelancongan.

Beliau berkata, program seumpamanya juga merupakan usaha MBPJ dalam mempromosikan produk pelancongan tempatan selain menjadikan Petaling Jaya sebagai destinasi riadah keluarga dan rekreasi air yang menarik.

Tambah beliau, Tasik Bandaran Kelana Jaya merupakan kawasan riadah yang popular dalam kalangan warga kota dan sering menjadi lokasi bersantai, bersenam dan berkelah.

Penyertaan hanya dikenakan bayaran RM70 bagi satu joran (dua mata). Kaunter pendaftaran akan dibuka pada Sabtu, 27 September, dari 3 petang hingga 7 malam dan disambung pada hari pertandingan bermula 6.30 pagi.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Syukur (013-2667011), Jas (012-3554946) dan Ali ( 012-2846811).

Sebanyak 500 helai t-shirt eksklusif turut diberikan kepada peserta yang mendaftar awal sebagai penghargaan atas sokongan mereka terhadap program yang sama.

Cabaran Joran Selangor 2025 juga mendapat sokongan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025, selain kerjasama pelbagai agensi serta rakan strategik yang komited dalam memperkasa industri pelancongan negeri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast