Hakyung Lee. foto stuff.co.nz

AUCKLAND – Seorang ibu di New Zealand didapati bersalah membunuh dua anaknya dan menyembunyikan mayat mereka di dalam beg pakaian.

Hakyung Lee, 44 tahun, telah disabitkan kesalahan membunuh oleh Mahkamah Tinggi Auckland pada hari Selasa, selepas perbicaraan berlangsung kira-kira dua minggu.

Sebelum ini tertuduh mengaku tidak bersalah.

Peguam Lee berhujah, dia tidak siuman ketika kejadian pembunuhan itu berlaku, beberapa bulan selepas suaminya meninggal dunia akibat kanser.

Namun, pihak pendakwa mendakwa tindakannya adalah terancang.

Mayat anak-anaknya ditemui pada tahun 2022 oleh sebuah keluarga yang membeli barangan dari sebuah stor terbiar melalui lelongan di Auckland.

Mayat tersebut dipercayai telah disimpan di situ selama beberapa tahun.

Lee ditangkap di Ulsan, Korea Selatan, pada September 2022 dan diekstradisi ke New Zealand pada tahun yang sama.

Sepanjang perbicaraan, mahkamah dimaklumkan mayat kedua-dua kanak-kanak itu tidak menunjukkan tanda-tanda trauma fizikal, namun jelas mereka dibunuh.

Seorang pakar patologi mengesahkan mereka mati akibat homisid, dengan punca yang tidak dinyatakan secara khusus, termasuk kemungkinan penggunaan Nortriptyline, iaitu sejenis ubat anti kemurungan, menurut pihak pendakwa.

Mahkamah turut diberitahu Lee mengambil preskripsi ubat itu dari sebuah farmasi pada Ogos 2017, lima bulan selepas suaminya, Ian Jo, disahkan menghidap kanser.

Pihak pembelaan mendakwa kesihatan mental Lee merosot selepas kematian suaminya dan dia mula percaya adalah lebih baik jika mereka semua mati bersama.

Ini mendorongnya cuba membunuh diri dan anak-anaknya menggunakan ubat anti kemurungan, namun dos yang diberi tidak tepat dan apabila dia sedar semula, kedua-dua anaknya telah meninggal dunia.

Walaupun dia memang membunuh anak-anaknya, peguamnya berhujah bahawa Lee “tidak bersalah atas tuduhan membunuh kerana tidak siuman”.

Namun, pihak pendakwa menegaskan, Lee masih rasional apabila menyembunyikan mayat anak-anaknya, menukar namanya, serta berpindah kembali ke Korea Selatan.

Pendakwa berhujah, pembunuhan itu adalah “tindakan mementingkan diri untuk membebaskan dirinya daripada beban membesarkan anak seorang diri”.

Lee tunduk tanpa sebarang reaksi ketika juri membacakan keputusan selepas kira-kira tiga jam bermesyuarat.

Dia dijadualkan menerima hukuman pada November ini dan berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast