Gambar hiasan

PASIR MAS – Seorang mudir, atau guru besar sekolah pondok, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Mohamad Aswadi Yah, 46, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kubang Batang dan sebuah madrasah di Wakaf Bharu, Tumpat antara 12.30 tengah hari hingga 5.30 petang dari 3 Mac hingga 9 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang  memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Mohamad Aswadi diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi dan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 November ini.

Pada 11 September lepas, Mohamad Aswadi didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas tujuh pertuduhan mencabul seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun serta memiliki imej lucah dan telah dibenarkan ikat jamin RM45,000.

Selang seminggu kemudian, dia sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Terengganu atas dua pertuduhan mencabul seorang pelajar lelaki lain berusia 14 tahun dan dibenarkan ikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast