Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menunjukkan orang dikehendaki pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Seramai 17 individu ditahan dalam operasi Op Jack Sparrow pada 11 September lalu di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak, melibatkan dua kumpulan yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan jenayah kekerasan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kumpulan jenayah terancang itu mula aktif sejak 2023 dengan keanggotaan kira-kira 33 orang, diketuai seorang lelaki warga tempatan.

“Mereka terlibat dalam pelbagai jenayah termasuk pembunuhan, mencederakan mangsa menggunakan senjata berbahaya, rompakan berkumpulan serta perbuatan khianat dengan api.

“Kegiatan kumpulan ini bermotifkan pengaruh, kuasa dan keuntungan material. Pada awal tahun ini rakaman serangan bersenjata terhadap dua lelaki di hadapan sebuah kedai di Taman Sentosa, Klang sehingga mengakibatkan kematian pernah tular di media sosial,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Operasi tersebut dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, siasatan awal mendapat mereka mempunyai 80 rekod kesalahan jenayah lampau dan 34 rekod berkaitan dadah.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan.

“Selain itu, siasatan turut dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi meneliti aspek pembiayaan dan saluran kewangan yang digunakan kumpulan ini,” ujarnya.

Ismail berkata, kejayaan menumpaskan kumpulan itu membuktikan kesungguhan PDRM dalam memastikan undang-undang ditegakkan tanpa kompromi selain meyakinkan masyarakat terhadap keupayaan polis menjaga keselamatan negara.

“Kamj ingin menegaskan tiada ruang atau toleransi diberikan kepada mana-mana kumpulan jenayah terancang atau individu yang cuba menggugat keamanan negara.

“Operasi risikan, penguatkuasaan serta kerjasama dengan agensi lain akan terus dipertingkatkan bagi memastikan ancaman jenayah ini dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast