KUALA LUMPUR – Pengasas dan pemilik rangkaian restoran Mohd Chan, Datuk Mohd Chan Abdullah meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh dekat sini malam ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7 malam tadi.
Berita sedih itu dikongsikan menerusi kenyataan rasmi oleh ahli keluarganya.
“Kami amat menghargai doa dan ucapan takziah daripada semua pihak. Pengurusan selanjutnya akan dimaklumkan kemudian,” menurut kenyataan bersama yang ditandatangani Datin Aminah Lee, Datuk Mustafa Chan, Datuk Muhammad Nik Chan, Puan Eliza Chan dan keluarga.
Sementara itu, jenazah Allahyarham difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 2 di sini esok.
Allahyarham merupakan seorang tokoh yang disegani dan dikenali ramai kerana sumbangan beliau dalam pelbagai bidang. – MalaysiaGazette















