[GAMBAR FAIL] Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan bangkai bas yang terlibat dalam nahas kemalangan jalan raya yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JUN 2025.

PUTRAJAYA – Penguatkuasaan Peranti Had Kelajuan (SLD) iaitu peranti atau sistem kawalan kelajuan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan akan bermula secara rasmi pada 1 Oktober ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, penguatkuasaan itu melibatkan kenderaan motor yang dikeluarkan selepas 1 Januari 2015 iaitu bas persiaran dan bas ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg).

Menurut beliau, ia turut membabitkan kenderaan lebih lapan penumpang dan kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500 kg.

“Menerusi statistik SLD, sebanyak 108,805 jenis kenderaan itu terlibat dalam fasa satu ini di mana 2,915 kenderaan telah memaklumkan pengesahan dan baki yang belum membuat pengesahan adalah 105,890 jenis kenderaan.

“Semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktian SLD hendaklah disahkan oleh pihak yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD.

“Maklumat berhubung pihak yang diktiraf, bolen layari laman sesawang JPJ https://www.ipi.gov.my/badan-pengesahan-speed-limiter-device/,” katanya pada sidang media di kementerian di sini hari ini.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media berkenaan Penguatkuasaan Road Charge Vehicle Entry Permit (RC-VEP) Sempadan Darat Malaysia dan Singapura di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 JUN 2025

SLD memainkan peranan penting dalam mencegah pemanduan melebihi had laju terutamanya bagi kenderaan yang membawa muatan berat atau penumpang.

Penguatkuasaannya diaktifkan semula susulan bas yang terlibat nahas meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan di jalan raya Timur-Barat, Gerik pada 9 Jun lalu yang disahkan dipandu dua kali ganda melebihi had laju ditetapkan.

Mengulas lanjut, Anthony menambah, Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD perlu dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) atau semasa urusan pembaharuan permit dengan APAD/LPKP serta sentiasa disimpan di dalam kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan.

Menurut beliau, pengesahan itu juga perlu diperbaharui setiap dua tahun bagi memastikan SLD berfungsi dengan baik.

“Selain itu, semua pihak yang terlibat dalam pengesahan hendaklah mengemas kini maklumat pengesahan pemasangan SLD bagi setiap kenderaan melalui sistem dalam talian yang disediakan JPJ.

“Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD yang sah hendaklah dimuat naik sebagai bukti dan pengemaskinian ini perlu dilakukan secara mingguan bagi tujuan semakan dan pemantauan pematuhan oleh JPJ,” katanya.

Anthony menegaskan, Kementerian Pengangkutan  JPJ tidak berkompromi akan selepas tarikh penguatkuasaan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Oktober ini.

“Notis Panggilan Temu Siasat akan dikeluarkan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast