SHAH ALAM – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza antara penyumbang zakat perniagaan terbesar di kalangan 22 syarikat kepada Lembaga Zakat Selangir berjumlah RM6,123,299.05.

Menerusi syarikatnya CTDK Holdings, Siti sebagai pengarah berkata, sejak memiliki syarikat sendiri sebelum berumah tangga lagi, zakat menjadi tanggungjawab yang wajib dilunaskannya.

Penghibur berusia 46 tahun itu berkata, ia kerana setiap hasil wang yang diperoleh melalui perniagaan syarikatnya terdapat hak orang lain juga untuk dikongsikan bersama.

“Selain melancarkan perniagaan dengan membayar zakat, hati saya lebih tenang dan pendapatan kita lebih banyak lagi. Malah dalam Islam sudah diberitahu pentingnya zakat untuk menyucikan harta benda kita,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Hi-Tea Bersama Pengeluar Zakat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) di sini hari ini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan penyerahan zakat oleh Pengasas CTDK Holdings Berhad, Datuk Seri Siti Nurhaliza kepada Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang pada Majlis Hi-Tea di Taman Tasik Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2025.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan mencemar duli hadir menyaksikan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM6,123,299.05 oleh 22 syarikat korporat kepada LZS, sekali gus memperkukuh peranan korporat dalam menunaikan tanggungjawab zakat di Selangor.

Hadir sama adalah Timbalan Pengerusi LZS, Tan Seri Datuk Setia Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari.

Antara penyumbang utama ialah Dherbs Holdings Sdn Bhd (RM900,000), XpertsCo Sdn Bhd (RM624,161.30), Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (RM599,160.82), Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (RM550,000), Bawal Sdn Bhd (RM500,000) dan Public Islamic Bank Berhad (RM400,000)

Sementara itu, usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri antara penyumbang zakat perniagaan tertinggi kepada LZS menerusi syarikatnya, D’Herbs Holdings Sdn Bhd.

Sementara itu, anak sulung Aliff Syukri, Ammar Ahyan berkongsi rahsia syarikat yang menjadi antara penyumbang tertinggi di Selangor.

Katanya yang berusia 17 tahun, ia kerana Dherbs Holdings mementingkan kecekapan dalam pengeluaran apabila beroperasi dalam syif sepanjang 24 jam dan tiada waktu pejabat.

Ujar beliau, ia menyumbang prestasi yang tinggi dalam kalangan kakitangan selain bapanya yang sering turun padang untuk membantu semua bahagian untuk mencapai keputusan terbaik. – MalaysiaGazette

wakil D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, Ammar Ahyan bercakap pada sidang media berkenaan Majlis Hi-Tea di LADO By The Lake, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2025.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast