A Aida.

KUALA LUMPUR – Penerbit drama, Datuk A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang kini dilaporkan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di ibu negara.

Perkhabaran itu dikongsi rakannya yang juga pendakwah terkenal, Datuk Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menerusi hantaran di Instagram hari ini.

Bagaimanapun, Izhar tidak memperincikan penyakit yang dihidapi penerbit berusia 55 tahun itu.

“Saya dengan rendah hati memohon agar semua sahabat mendoakan kekanda dan sahabat saya, Datuk A Aida yang kini berada di ICU sebuah hospital di ibu negara.

“Doakan semoga beliau segera sembuh dan dipermudahkan segala urusan,” tulisnya.

Sementara itu, Mohd Izhar Ariff memberitahu, A Aida yang baru menjalani pembedahan lutut pada Selasa lalu rebah selepas menjalani sesi fisioterapi.

“Sewaktu fisioterapi, A Aida minta izin ke tandas kerana ingin muntah. Bagaimanapun, dia rebah dan wajahnya pucat sebelum segera dibawa ke katil.

“Apabila diperiksa jururawat, dia sudah tidak sedarkan diri. Keadaannya tidak stabil kerana tekanan darah sekejap naik, sekejap turun.

“Setahu saya, beliau tidak pernah menghidap penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi,” katanya kepada BH Online.

Mohd Izhar berkata, keadaan penerbit drama Halimah Jongang itu masih dipantau rapi oleh pihak hospital.

“Buat masa ini rawatan lain seperti CT Scan tidak dapat dilakukan kerana keadaan beliau belum stabil,” katanya.

A Aida memulakan karier dalam bidang seni sebagai pelakon sebelum beralih ke dunia penerbitan pada 2003.

Antara drama popular terbitannya termasuk Halimah Jongang, Fatimah Juling, Andainya Takdir, Bidadari Salju dan banyak lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast