JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menolak sebarang bentuk dominasi atau sikap ‘abang besar’ dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak mahu  ada sikap seperti itu sama ada dalam Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

Amanah Johor juga ujarnya, menyeru supaya perbincangan mengenai agihan kerusi dilakukan lebih awal dengan penuh ketelusan.

Tambahnya, ini bagi mengelakkan salah faham dan menekankan keutamaan utama ialah mempertahankan kestabilan politik negeri serta kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

“Amanah Johor menegaskan jika UMNO/BN Johor membuat keputusan untuk bersama-sama PH dalam semangat kerajaan Perpaduan PRN Johor yang akan datang, maka sebarang rundingan kerjasama bagi menghadapinya mesti dibuat secara matang, setara dan saling menghormati antara semua parti komponen dalam kerajaan Perpaduan.

“Rundingan kerusi, strategi kempen dan pembahagian tanggungjawab harus dilaksana dengan mengambil kira kekuatan serta sumbangan setiap parti, bukan berdasarkan kedudukan sejarah atau jumlah kerusi semata-mata,” katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, walaupun tidak berada dalam kerajaan Johor, peranan PH selaku tonggak utama kerajaan Perpaduan yang banyak membantu kerajaan Johor dalam menjana ekonomi yang lebih mampan.

Jelasnya, ini dapat dilihat menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB).

“⁠Kami percaya kejayaan kerajaan Perpaduan di peringkat negeri hanya dapat dicapai melalui semangat muafakat tulen dan perundingan yang adil.

“⁠Semua rakan gabungan perlu menghormati pandangan antara satu sama lain kerana rakyat Johor mengharapkan kepimpinan yang bersatu, bukannya pertikaian dalaman yang mencetuskan persepsi negatif,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast