Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang akan bermula 30 September ini dijangka mencetuskan gelombang kesedaran keselamatan jalan raya serta membuka dilema baharu mengenai syarat pemilikan kenderaan.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Shahrim Tamrin berkata, ramai tidak menyedari perlaksanaan BUDI95 bakal memberi kejutan kepada golongan yang tidak memiliki lesen memandu atau menunggang.

Terdapat tiga golongan pasti sesak nafas atau pening kepala bermula minggu depan dan mereka adalah pemilik kenderaan persendirian yang tiada lesen, pengemudi kenderaan bermotor yang tidak memperbaharui lesen melebihi tiga tahun serta mereka yang tidak pernah menduduki sebarang ujian memandu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, situasi itu bukanlah baharu kerana sejak sekian lama tiada kawalan daripada kerajaan apabila pengedar kenderaan tidak mengenakan syarat lesen memandu kepada pembeli kereta atau motosikal.

Jika seorang insan tiada lesen memandu mahu membeli secara tunai motosikal ‘kapcai’ atau memohon pinjaman, adalah bukan rahsia lagi bahawa tiada syarat dikenakan untuk menunjukkan lesen menunggang,” ujarnya.

Shahrim berkata, keadaan ini lebih ketara di kawasan bandar kecil, desa dan ladang apabila ibu bapa membeli motosikal untuk anak-anak bawah umur meskipun mereka sendiri tiada lesen memandu.

Akibatnya, ribuan kanak-kanak dan remaja terbabit dalam kemalangan maut sejak bertahun-tahun lalu.

Malah, katanya, kelemahan penguatkuasaan menyebabkan orang ramai mengambil mudah kewajipan memperbaharui cukai jalan dan insurans.

Data Jabatan Pengang Jalan (JPJ) menunjukkan 2.3 juta pemegang lesen memandu tidak aktif kerana sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui.

Dengan pengenalan BUDI95, ini secara langsung bakal memaksa pengguna jalan raya yang degil tanpa lesen aktif melebihi tiga tahun untuk menduduki semula ujian lesen memandu,” katanya.

Jelasnya lagi, BUDI95 boleh menjadi petanda awal bahawa kerajaan mungkin akan merangka undang-undang baharu bagi memastikan hanya individu dengan lesen memandu atau menunggang yang sah sahaja dibenarkan membeli kenderaan.

Rakyat Malaysia boleh membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan, mulai jam 9 pagi ini.

Portal rasmi www.budimadani.gov.my kini dibuka untuk semakan profil kelayakan dan baki penggunaan subsidi bulanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast