Farid Kamil bersama Amirudin Shari pada majlis pelancaran kedai jualan motosikal elektrik beliau di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari mencipta sejarah peribadi apabila menjadi artis pertama memiliki kedai jualan motosikal elektrik keluaran GGR Motor.

Farid Kamil yang juga seorang usahawan membuka kedai EV di bawah syarikat NEO FK Sdn Bhd bersama dua rakan kongsi, Abdullah Sani Abu dan Mohammad Nor Hakim, dengan sokongan kerjasama strategik daripada GGR Motor.

Pembukaan premis yang terletak di 69-G, Seria 88 Business Center, Jalan Setia Perdana U13/BA, Bandar Setia Alam itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin  Shari baru-baru ini.

Sebagai seorang ikon hiburan tanah air, keputusan Farid Kamil terjun ke dalam bidang perniagaan motosikal elektrik memberi mesej besar bahawa mobiliti hijau bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menurunkan tanda tangan sebagai simbolik merasmikan kedai jualan motosikal EV milik pelakon, Farid Kamil.

Menurut Farid Kamil, 44, dia sangat  bersyukur dan teruja dengan sambutan yang diterima untuk pembukaan kedai motosikal EV ini.

“Saya menyasarkan syarikat akan mencapai jualan melebihi 1,000 unit dalam masa empat bulan pertama selepas pelancaran, khususnya di kawasan Setia Alam yang semakin berkembang sebagai hab gaya hidup moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelakon filem Lagenda Budak Setan itu turut memaklumkan bahawa syarikatnya telah mengenal pasti potensi pasaran baharu di Kelantan.

“Hasil tinjauan awal bersama rakan perniagaan, permintaan awal di negeri itu telah mencecah sekitar 100 unit.

“Justeru, pihak kami kini dalam perancangan membuka cawangan di sana pada tahun ini juga. Kalau kita lihat harga motosikal elektrik ini selepas rebat kerajaan hanyalah sekitar RM1,569, ia benar-benar mampu milik,” katanya.

Sementara itu, Amirudin ketika berucap merasmikan premis tersebut menegaskan, transformasi ke arah ekonomi hijau bukanlah pilihan semata-mata, sebaliknya satu keperluan untuk memastikan daya saing Malaysia di persada global.

Beliau menekankan bahawa usaha mengurangkan karbon dan mengembangkan ekosistem EV perlu dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan kerajaan, industri dan masyarakat.

Katanya, walaupun dengan langkah kecil seperti membuka satu kedai baharu, tetapi ia sebenarnya memberi impak besar dalam membentuk ekosistem mobiliti hijau di Malaysia.

FARID Kamil bersama antara model motosikal EV yang dijual di kedai miliknya di Bandar Setia Alam, Selangor.

“Kerajaan negeri melihat inisiatif seperti ini sebagai sebahagian daripada strategi lebih besar untuk mengurangkan karbon, meningkatkan daya saing ekonomi, serta memberi peluang pekerjaan baharu.

“Semua ini selari dengan sasaran pembangunan mapan dunia,” katanya.

Motosikal elektrik GGR x Farid Kamil NeoFK ditawarkan pada harga asal RM3,999 seunit.

Namun, dengan adanya rebat kerajaan sebanyak RM2,400, harga jualan mampu milik selepas potongan hanyalah sekitar RM1,569.

Rebat ini boleh dipohon sehingga Disember 2025, dengan syarat pemohon berpendapatan tahunan tidak melebihi RM100,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast