KEADAAN Jalan Pantai Batu Rakit, Terengganu yang runtuh semula ketika projek itu hampir siap sepenuhnya. - Foto: FB Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir Ahli Parlimen Setiu.

KUALA LUMPUR – Struktur Jalan Pantai Batu Rakit, Terengganu yang runtuh semalam perlu dipertanggungjawab kepada kontraktor terlibat supaya segera melaksanakan kerja pengukuhan tambahan di jalan berkenaan.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Terengganu, Mohd Ridhuan Abdul Karim berkata, ia bagi memastikan struktur jalan dan benteng pantai tersebut benar-benar kukuh dalam menghadapi cabaran musim tengkujuh.

Insiden itu bukan perkara kecil kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya serta masyarakat sekitar.

Jelasnya, langkah pemulihan mesti disegerakan agar projek itu bukan sahaja siap dengan cepat tetapi juga mampu bertahan lama dan selamat digunakan ketika musim tengkujuh yang semakin hampir.

“Kami akan terus memantau perkembangan projek ini dan memberi teguran yang membina demi kepentingan rakyat. Keselamatan rakyat adalah keutamaan dan setiap sen wang rakyat mestilah dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, Jalan Pantai Batu Rakit yang hampir siap dibaik pulih dengan kos RM4.95 juta itu kembali runtuh dalam kejadian malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, runtuhan sejauh 15 hingga 20 meter itu disedari anggota rondaan cegah jenayah Balai Batu Rakit kira-kira 9.30 malam.

Sementara itu, Mohd Ridhuan berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut walaupun kerja-kerja pembaikan sebelum ini dilaporkan telah mencapai lebih 99 peratus kemajuan.

Jelasnya, runtuhan sepanjang kira-kira 50 meter itu nyata menimbulkan kebimbangan penduduk setempat lebih-lebih lagi dengan musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menurut beliau, segala kerja pemulihan yang akan dijalankan oleh kontraktor mestilah memenuhi piawaan terbaik supaya kejadian yang sama tidak berulang dan dapat memberikan jaminan keselamatan kepada rakyat.

Tambahnya, sebagai Pegawai Penguasa di tapak, Jabatan Kerja Raya (JKR) memikul tanggungjawab penuh untuk mengawasi segala kerja yang sedang dijalankan oleh kontraktor.

“Justeru, JKR perlu memastikan setiap aspek kerja menepati piawaian, spesifikasi, serta jadual yang ditetapkan agar kejadian yang sama tidak berulang dan rakyat terjamin keselamatannya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, jalan tersebut akan ditutup buat sementara kepada semua kenderaan.

“Insya-Allah pihak JKR akan ambik tindakan segera supaya jalan ni lebih selamat untuk kita semua lalu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast