KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan tindakan segelintir pengusaha atau pemilik kenderaan perdagangan yang menggaji pemandu bawah umur sejak kebelakangan ini.
Pengarahnya Mohd Zamri Samion berkata, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan JPJ di Jalan Tok Adis-Cendering di sini semalam, kerana didapati memandu kenderaan perdagangan tanpa lesen.
Beliau berkata, selain pemandu, kelindan lori terbabit juga disahkan masih bawah umur serta tidak mempunyai lesen memandu.
“Pemeriksaan mendapati lori yang membawa tempurung kelapa itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Marang. Kita percaya pemilik lori berkenaan mengambil risiko menggaji pemandu bawah umur bagi menjimatkan kos operasi.
“Tindakan tersebut amat berisiko dan mendatangkan bahaya kepada pemandu dan pengguna jalan raya lain. Kita telah mengeluarkan saman dan menyita kenderaan terbabit kerana jelas melanggar undang-undang,” katanya ketika ditemui pada Operasi Khas Gempur di Tol Gemuruh, di sini.
Sementara itu, Mohd Zamri berkata sebanyak 603 kenderaan perkhidmatan awam (KPA) dan kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) dikenakan tindakan dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan JPJ dalam tempoh 1 hingga 24 September.
Antara kesalahan dikesan termasuk lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) tamat tempoh, membawa barangan lebih muatan, perlindungan insurans tamat tempoh, tidak mematuhi lampu isyarat dan lesen kenderaan barangan (GDL) tamat tempoh.
“Selain itu, sebanyak 11 kenderaan telah disita, 144 kenderaan diarah timbang manakala 12 lagi diberi lain-lain notis.















