KUALA LUMPUR — Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang mengecam keputusan kerajaan negeri yang tetap mahu menaikkan cukai tanah bermula tahun depan, walaupun rakyat kini sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi.
Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu menunjukkan kerajaan negeri gagal mendengar suara rakyat dan tidak sensitif terhadap kesusahan yang sedang dialami.
“Kerajaan sepatutnya laksanakan pelarasan cukai secara berperingkat, supaya rakyat ada ruang untuk bernafas,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya lagi, parti-parti dalam PN menerima banyak aduan daripada penduduk di seluruh negeri, terutamanya berkaitan kesan kenaikan cukai ini terhadap pengusaha dan pemilik tanah.
Beliau juga mempersoalkan kewajaran menaikkan kadar cukai tanah industri sehingga 150 peratus ketika banyak syarikat masih belum pulih sepenuhnya selepas pandemik.
“PN bimbang tindakan ini akan menyebabkan perniagaan kecil terpaksa mengecilkan operasi, sekali gus menjejaskan ekonomi negeri,” ujarnya.
Dominic turut membandingkan pendekatan kerajaan negeri kini dengan pentadbiran Gerakan dahulu yang menurutnya lebih prihatin dan tidak pernah menaikkan cukai tanah demi menjaga kepentingan rakyat.
“Mengapa sekarang mahu bebankan rakyat, sedangkan hasil pembangunan hartanah semakin meningkat?” soalnya.
PN juga kata beliau, menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri tentang ke mana hasil kutipan cukai itu akan disalurkan sama ada untuk projek banjir, pengangkutan atau hanya untuk menambah rizab negeri. – MalaysiaGazette
















