Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Razak berulang kali cuba meletakkan kesalahan kepada pihak lain berhubung penyelewengan dana pencen melalui SRC International Sdn Bhd berjumlah RM3.95 bilion.

Peguam SRC, Datuk Lim Chee Wee berhujah, Najib berusaha menutup ketidakjujurannya sendiri dengan menjadikan pihak lain sebagai kambing hitam.

Sebelum ini, dalam pembelaan, Najib mendakwa Lembaga Pengarah SRC bertanggungjawab menjalankan penelitian sewajarnya (due diligence) serta memastikan pinjaman pertama RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dilindungi.

“Ini tidak dapat diterima. Dalam konteks pinjaman KWAP yang pertama, plaintif (SRC) membuktikan tiada Lembaga Pengarah wujud ketika itu.

“Panel Pelaburan KWAP pula berasa terpaksa mengikut arahan Najib kerana beliau adalah Menteri Kewangan pada masa berkenaan,” kata Chee Wee ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin hari ini.

Dakwanya, Najib cuai apabila mempercepatkan kelulusan pinjaman KWAP sebanyak RM2 bilion secara tergesa-gesa dengan alasan ia diperlukan untuk pelaburan segera, walaupun beliau tahu tiada pelaburan yang akan dibuat.

Sebaliknya, Najib bekerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif SRC ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil, untuk mendapatkan pinjaman tersebut demi tujuan penyelewengan.

“Beliau tahu tiada pelaburan segera akan dilakukan, namun tetap bekerjasama dengan Nik Faisal untuk mempercepatkan pinjaman. Akhirnya, kedua-duanya menerima manfaat secara peribadi daripada dana SRC,” dakwanya.

Chee Wee turut menolak pembelaan Najib bahawa beliau terlalu sibuk sebagai Perdana Menteri dan tidak boleh ‘micromanage’ (mengurus secara terlalu terperinci) urusan syarikat.

Katanya, alasan itu tidak munasabah kerana SRC bukan projek biasa, sebaliknya sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 2011 selaras dengan aspirasi Najib sendiri untuk mempelbagaikan sumber tenaga negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

“Alasan bahawa (Najib) terlalu sibuk untuk mengambil tahu soal usaha wajar adalah tidak munasabah. SRC bukan projek biasa. Ia melibatkan RM4 bilion dana pencen yang disalurkan ke sebuah syarikat baharu tanpa rekod prestasi.

“Malah, SRC pernah dikonsepkan sebagai entiti setaraf Petronas. Namun akhirnya, tiada keselamatan tenaga yang dicapai,” katanya.

SRC, syarikat berkaitan Kementerian Kewangan, pada asalnya dicadangkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada 2010 untuk ditubuhkan dengan geran RM3 bilion, tetapi hanya RM20 juta diluluskan.

Kemudian, SRC beralih kepada KWAP dan mendapat pinjaman berjumlah RM4 bilion dalam dua peringkat, iaitu separuh kedua 2011 dan separuh pertama 2012.

Kes saman sivil ini difailkan SRC pada 7 Mei 2021 terhadap Najib dan Nik Faisal bagi menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

SRC mendakwa, kedua-duanya bersubahat dan melakukan pecah amanah, dengan Najib turut dituduh menyalahgunakan kuasanya untuk memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat.

Bekas Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin, turut dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama beberapa pengarah lain termasuk Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC dalam tuntutan saman memohon deklarasi Najib bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat berjumlah AS$1.18 bilion akibat pelanggaran tugas dan amanah, selain menuntut perintah supaya beliau membayar AS$120 juta manakala Nik Faisal membayar AS$2 juta kepada syarikat itu.

Plaintif turut menuntut deklarasi bahawa semua defendan bertanggungjawab ke atas kerugian dana pelaburan tersebut, di samping ganti rugi am, teladan, tambahan, faedah, kos serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Prosiding akan bersambung pagi esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast