KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri telah menziarahi keluarga mangsa kejadian tanah runtuh dan banjir dalam tragedi di Kampung Marahang dan Kampung Mook, Papar, Sabah semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut menyampaikan bantuan menerusi Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa Bencana YKN (PEKA) kepada 10 keluarga terlibat.
Menurutnya, selain bantuan PEKA, YKN turut menyalurkan bakul makanan yang mengandungi keperluan asas serta beg makanan kepada keluarga terjejas, mangsa bencana juga menerima bantuan barangan keperluan daripada JKM dan Yayasan Sime Darby.
“YKN sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada individu, pihak swasta dan korporat bagi bersama-sama menjayakan usaha membantu kumpulan sasar yang memerlukan.
“Setiap sumbangan yang dibuat kepada YKN layak menerima resit pengecualian cukai,” kata Ahli Parlimen Santubong itu dalam satu kenyataan.
Jelasnya, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah berada di lapangan sejak hari pertama bencana untuk menyalurkan bantuan segera kepada mangsa.
“Saya memilih untuk turun selepas banjir reda kerana fasa pasca banjir ini sama pentingnya. Pada waktu inilah mangsa amat memerlukan sokongan untuk membersihkan rumah, membina semula kehidupan serta kembali kepada rutin harian mereka.
“Saya mahu mereka merasakan bahawa mereka tidak pernah ditinggalkan sendirian selepas bencana,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron serta pasukannya adalah untuk memberi semangat dan menyampaikan mesej bahawa masih ada harapan untuk mangsa bangkit semula.
“Kami sentiasa peka dan prihatin terhadap nasib keluarga mangsa. Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka serta memberi kekuatan untuk menghadapi dugaan yang menimpa,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat berlarutan dua minggu lalu menyebabkan 18 jalan perhubungan terputus, masing-masing 12 akibat banjir kilat dan enam kerana tanah runtuh. – MalaysiaGazette















