Ahmad Zahid ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute, Bandar Baru Bangi, hari ini.

BANGI – Orang ramai yang mempunyai lesen memandu tamat tempoh melebihi tiga tahun diminta memperbaharui segera lesen masing-masing bagi menerima manfaat subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif Budi Madani (BUDI95).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting kerana kerajaan mahu memastikan semua lapisan masyarakat yang layak menerima bantuan tersebut tanpa sebarang halangan.

“Dianggarkan terdapat ratusan ribu lesen memandu yang sudah tamat tempoh lebih tiga tahun dan perlu diperbaharui.

“Saya harap mana-mana pihak yang menghadapi masalah bersabar kerana beberapa mekanisme baharu sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Kewangan bagi memudahkan proses,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan sudah meneliti permasalahan berhubung pelaksanaan dan akan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti melalui mesyuarat Jawatankuasa Kabinet.

“Sekiranya individu mempunyai MyKad yang sudah lama, proses penukaran MyKad kini diluluskan oleh JPN dan diberikan secara percuma bagi peringkat awal,” katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan, rakyat tempatan yang gagal memperbaharui lesen memandu lebih daripada tiga tahun tidak layak menerima subsidi petrol RON95 secara automatik menerusi program Budi Madani RON95.

Menurut beliau, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seramai 925,421 pemegang lesen dikenal pasti belum memperbaharui lesen masing-masing dengan 154,641 daripadanya hampir mencecah tempoh tiga tahun.

Susulan itu, beliau berkata, pemegang lesen yang gagal memperbaharui lesen memandu melebihi tempoh tiga tahun, akan disekat secara automatik melalui sistem Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan harga petrol RON 95 turun kepada RM1.99 seliter hanya untuk kegunaan rakyat tempatan bermula 30 September ini, menerusi program BUDI95.

Bagaimanapun, untuk warga asing, mereka perlu membayar pada harga RM2.60 seliter bermula tarikh sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast