KUALA LUMPUR – Bekas penyerang skuad Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha meluahkan kekecewaannya apabila tunggakan gaji sejak 2022 bersama Melaka United masih berlarutan.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, beliau mengakui kecewa kerana masih tidak menerima tunggakan itu dan tidak menghalalkan hutang tersebut.
Malah tegasnya, apabila isu itu cuba dirujuk kepada pihak tertentu namun mereka mendiamkan diri dan langsung tidak membantu.
“Saya bekerja tetapi tidak dibayar gaji. Minta tolong tiada seorang pun yang mahu tolong seolah-olah kita tidak pernah berbakti pada negeri Melaka.
“Ingatlah hidup umpama roda, bumi ini beputar. Saya memang tidak pernah halalkan, hutang wajib bayar,” tulisnya di ruangan komen di Instagram.
Bertambah hairan, Norshahrul atau mesra disapa Mat Yo akui terdapat transaksi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuat ‘pihak tertentu’ pada Julai 2025 lalu.
Begitupun gaji yang tertunggak selama enam bulan itu tidak sedikit pun dilunaskan.
“Kes menang di mahkamah tapi semua tak nak bertanggungjawab yang pelik EPF boleh pulak bayar baru ini bulan Julai 2025 tapi gaji tak bayar!.
“Siapa yang buat transaksi itu? Tak baik aniaya orang. Saya bekerja tapi tak dibayar gaji,” katanya.
Untuk rekod, pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan tiga kali berturut-turut dari 2010, 2011 dan 2012 itu pernah menyarung jersi beberapa pasukan tempatan seperti Kelantan, JDT, Sarawak United dan Melaka United.
Selain itu, dia juga pernah bermain di Liga Thailand bersama BG Pathum United pada 2020 hingga 2021. – MalaysiaGazette
















