Faizal Rahman

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu berani untuk keluar daripada ‘definisi antarabangsa’ mengenai had umur 16 tahun sebagai had umur kanak-kanak perempuan bagi kesalahan seksual.

Menurut seorang peguam, Faizal Rahman, ia atas pelbagai faktor antaranya bentuk fizikal dan mental yang sebenarnya sudah matang dan tidak sesuai dikategorikan sebagai ‘kanak-kanak’.

Malah, beliau melihat umur 14 tahun adalah lebih sesuai sebagai had umur kanak-kanak perempuan bagi kesalahan seksual.

Sehubungan itu, kata Faizal, pindaan undang-undang wajar dilakukan dengan memberikan kuasa kepada mahkamah di dalam kes yang melibatkan seks suka sama suka.

Antara lain, jelas beliau, pesalah perempuan juga mesti dihukum atau sekurang-kurangnya dihantar ke pusat pemulihan.

“Lelaki dihantar ke penjara tetapi ‘mangsa’ yang di luar itu bebas dan akan terus mengulangi kejadian yang sama dengan lelaki lain.

“Bayangkan kalau umur `mangsa’ baru mencecah 13 atau 14 tahun. Berapa tahun dia ada untuk mencapai umur 16 tahun?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Faizal turut berkongsi kes `rogol’ yang pernah dikendalikan beliau beberapa tahun lalu melibatkan mangsa perempuan sama tetapi dengan beberapa lelaki berbeza yang berlaku selang setahun.

Katanya, beliau berpandangan kes melibatkan masa itu adalah disebabkan ‘ketagihan seks’ tetapi dilaporkan sebagai rogol, namun tidak ada undang-undang yang mewajibkan untuk ‘mangsa’ dihukum atau sekurang-kurangnya dihantar ke pusat pemulihan.

Sehubungan itu, tambah Faizal, `mangsa’ perempuan dalam kes seks suka sama suka juga perlu atau mesti dirawat untuk menghentikan serta memulihkannya daripada ketagihan seksual.

Jika tidak, ujarnya, indeks kes dalam kategori ‘mangsa’ yang sama akan terus meningkat, malah ‘mangsa’  akan ‘berkongsi’ dan ‘menyebarkan’ pengalaman seksual itu kepada rakan sebaya lain.

Tambahnya, undang-undang rogol sedia ada perlu dikaji ke arah penambahbaikan kerana jika indeks jenayah rogol suka sama suka menunjukkan peningkatan, maka adalah jelas undang-undang itu gagal.

“Dalam kes rogol suka sama suka ini, faktor atau kuncinya terletak juga di tangan ‘mangsa’.

“Sekiranya tidak ada solusi yang betul-betul sampai ke tunjang permasalahan ini, maka kita akan kembali ke putaran roda titik mula yang sama,” katanya.

Tambah Faizal, seperkara yang perlu juga diingat, kejadian kes rogol suka sama suka majoritinya melibatkan lelaki dan perempuan Melayu Islam.

Sehubungan itu, ujarnya, solusi atau pendekatan yang digariskan di bawah undang-undang jenayah Islam juga wajar dipertimbangkan.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mencadangkan supaya perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Mohd Yusoff, cadangan itu  wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast