KUALA LUMPUR – Seorang peguam, Dr. Shamsher Singh Thind menggesa pejuang hak asasi manusia dan ahli-ahli Parlimen mengambil semua langkah yang sepatutnya untuk memastikan rakyat negara ini menyedari risiko menyeludup dadah ke luar negara termasuk ke Singapura.
Menurut beliau, tindakan itu dilihat lebih tepat dalam menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia daripada berakhir di tali gantung berbanding mendesak kerajaan Singapura menghentikan pelaksanaan hukuman mati ke atas pengedar dadah di negara itu.
Shamsher Singh yang juga pakar kriminologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, aktivis hak asasi manusia dan Ahli-ahli Parlimen yang bersuara dalam menuntut keadilan dalam isu itu tidak mungkin dapat mengatasi pelaksanaan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Singapura.
Apatah lagi, ujarnya, Singapura sememangnya diketahui amat tegas dalam kesalahan melibatkan pengedaran dadah dan hukuman mati akan tetap dilaksanakan di negara tersebut di sebalik tekanan masyarakat antarabangsa.
“Jadi, jalan terbaik untuk menyelamatkan rakyat kita khususnya generasi muda adalah dengan memberikan kesedaran kepada mereka terhadap bahaya dan risiko cuba menyeludup dadah ke negara itu.
“Bukannya mendesak kerajaan Singapura membatalkan hukuman mati kerana negara itu akan tetap melaksanakannya terhadap mereka yang didapati bersalah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Semalam, pihak berkuasa Singapura mengesahkan hukuman mati telah dilaksanakan ke atas seorang rakyat Malaysia, K Datchinamurthy, 39, yang disabitkan bersalah memiliki bagi tujuan mengedar, tidak kurang daripada 44.96 gram diamorphine, atau heroin tulen.
Keputusan itu mencetuskan kemarahan peguam keluarga warga Malaysia itu, N. Surendran yang membidas keputusan Singapura untuk meneruskan pelaksanaan hukuman mati tersebut selepas ia ditangguhkan pada sebelah pagi.
Malah Surendan seperti dilaporkan portal berita menyifatkan ia sebagai satu tindakan kezaliman yang tiada bandingannya walaupun dalam sejarah rejim hukuman mati yang keras di Singapura.
Tambahnya, tindakan Singapura itu bersamaan dengan melaksanakan hukuman mati secara sewenang-wenangnya, kejam dan luar biasa, yang menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan. – MalaysiaGazette
















