KUALA LUMPUR – Inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) disifatkan sebagai langkah intervensi bersasar bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr. Razli Ramli berkata, dari sudut konsep MADANI, inisiatif itu berpaksi kepada prinsip maqasid syariah khususnya menjaga nyawa (hifz al-nafs); menjaga harta (hifz al-mal) dan menjaga kesejahteraan masyarakat melalui agihan sumber yang lebih adil.
Menurutnya, dengan pendekatan subsidi bersasar itu, kerajaan bukan sahaja membantu rakyat secara langsung, malah mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan negara yang selama ini lebih banyak dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.

“Inisiatif ini dapat meringankan kos sara hidup khususnya golongan B40 dan M40 selain meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.
“Selain itu, ia juga membolehkan kerajaan menjimatkan fiskal negara, lalu menyalurkan dana ke bidang strategik lain seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur hijau,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Bagaimanapun, menurut Razli yang juga Ketua Strategi & Risiko, Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menambah, inisiatif BUDI95 tetap membawa risiko tertentu.
Antaranya, kata beliau, dari sudut risiko fiskal yang mana sekiranya subsidi bersasar tidak diurus dengan mekanisme data yang teliti, ia boleh menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan dalam jangka sederhana.
Selain itu, tambah beliau, risiko ketirisan masih wujud jika proses pemantauan tidak menyeluruh, misalnya melalui penyalahgunaan kad subsidi atau pendaftaran palsu.
Dalam masa sama, jelasnya, terdapat risiko rasa tidak puas hati rakyat sekiranya mekanisme agihan dianggap tidak telus atau golongan layak tercicir daripada menerima manfaat.
“Oleh itu, saya menasihatkan kerajaan untuk memastikan sistem pendigitalan data penerima benar-benar mantap, dengan integrasi antara agensi menggunakan pangkalan data nasional yang disemak secara berkala.
“Selain itu, komunikasi yang telus kepada rakyat penting untuk menjelaskan tujuan dan manfaat BUDI95, sekali gus mengelakkan manipulasi politik yang semakin hangat masa ini,” katanya.
Tambah Razli, audit berkala dan penglibatan badan bebas termasuk institusi kewangan Islam pula boleh meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa inisiatif itu selari dengan prinsip tadbir urus baik dan benar-benar menepati semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat serta kelestarian fiskal negara. – MalaysiaGazette
















