KUALA LUMPUR – Pembangkang disifatkan sukar untuk mencari alasan supaya rakyat menolak Budi Madani RON95 (BUDI95) atau mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai gagal dalam pelaksanaan inisiatif tersebut.
Ini kerana, menurut pemerhati politik, Azizi Safar, inisiatif BUDI95 yang menyaksikan penurunan harga petrol kepada semua warga Malaysia yang memiliki lesen memandu sah itu adalah jelas tidak akan dibantah rakyat.
Malah golongan berpendapatan tinggi juga tidak akan marah atau berasa tidak puas hati terhadap Kerajaan Madani kerana mereka juga layak menikmati inisiatif BUDI95.
“Rakyat biasanya suka harga yang lebih murah, rakyat hanya akan marah bila harga naik atau lebih tinggi sahaja. Bila harga lebih murah, bayar kurang. Bila harga lebih tinggi, kena bayar lebih. Jarang orang komplen sebab kena bayar lebih murah.
“Hanya golongan tak ada lesen memandu yang sah laku sahaja tak dapat subsidi petrol RON95 Madani. Mereka sahajalah kalau nak marahkan kerajaan pun,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Tambah Azizi, kuota 300 liter pengisian minyak petrol juga tidak memberi kesan kepada orang ramai apabila majoriti pengguna dilihat tidak akan melepasi penggunaan itu bagi tempoh sebulan, sekali gus tidak akan dibebankan dengan harga tanpa subsidi.
Sementara itu, beliau menjelaskan, pelarasan subsidi petrol dengan cara menetapkan penggunaan kuota bahan api itu bukan idea baharu sebaliknya sudah lama ada dalam perbincangan dasar, termasuk semasa pentadbiran-pentadbiran terdahulu.
Namun ia tidak pernah berjaya dilaksanakan sepenuhnya kerana cabaran pelaksanaan, kekangan politik dan sensitiviti rakyat.
“Kini ia akhirnya dilaksanakan. Bukan subsidi bersasar sepenuhnya, tetapi subsidi pukal berkuota. Apa maknanya ini untuk politik?
“Selepas ini, mana-mana pihak yang mahu janjikan dasar lebih populis berkaitan petrol dan diesel, mereka perlu tawarkan sesuatu yang lebih dari apa yang sudah ada.
“Sama ada, harga petrol lebih rendah daripada RM1.99 seliter atau kuota lebih tinggi dari 300 liter sebulan,” katanya.
Tambahnya, inisiatif BUDI95 juga akan merubah cara perdebatan (tawaran) subsidi yang dikemukakan dalam kempen pilihan raya.
“Persoalannya, siapa sanggup janji lebih dari ini dan mampu tunai? Setakat ini, apa yang diumumkan nampak macam bagus.
“Namun kelancaran pelaksanaan masih belum boleh dilihat. Kena tunggu sehingga ia bermula,” katanya. – MalaysiaGazette
















