KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Fasa Peralihan Monsun bermula 30 September ini dan berterusan sehingga November 2025.
Permulaan fasa tersebut menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 10 Mei 2025.
Menurut MetMalaysia, pada tempoh berkenaan berlaku tiupan angin yang lemah dari pelbagai arah.
Keadaan cuaca dijangka cerah pada waktu pagi namun diramal ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang yang lebih menyeluruh dalam jangka masa singkat pada petang hingga malam.
Ia juga berpotensi menjana puting beliung dan menghasilkan hujan batu.

Ia dijangka banyak berlaku di kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta kawasan selatan dan tengah Sarawak.
“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media social rasmi Jabatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -MalaysiaGazette
















