Razman Zakaria

KUALA LUMPUR – Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menyifatkan penahanan seorang penolong pegawai Pejabat Tanah bersama seorang broker hartanah kerana disyaki terlibat dalam penipuan pindah milik tanah di Mukim Lenggong tidak boleh dipandang ringan.

Ketuanya, Razman Zakaria berkata, kes itu amat membimbangkan kerana ia mencalar integriti penjawat awam serta pengurusan aset terpenting negeri iaitu tanah.

Menurut beliau, soal berkaitan tanah adalah amanah rakyat yang wajib diurus dengan penuh tanggungjawab.

Sehubungan itu, sebarang penyelewengan bukan sahaja merosakkan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri, malah boleh menzalimi pemilik yang sah.

“Lebih daripada itu, tatakelola urusan tanah yang diwarisi lebih 60 tahun sejak merdeka perlu disemak semula dan diperkukuh supaya kekal relevan, telus, serta menutup sepenuhnya ruang salah guna kuasa dan manipulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tambah Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol menggesa Kerajaan Negeri Perak segera melaksanakan audit menyeluruh di semua Pejabat Daerah dan Tanah terhadap urusan pindah milik tanah yang mencurigakan.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga perlu segera mengadakan audit khas tanah rizab Melayu bagi mengelakkan manipulasi atau kehilangan hak milik yang tidak sah serta memperketat sistem pemantauan dan kawalan dalaman di pejabat tanah bagi menutup peluang penyelewengan.

Dalam masa sama, kerajaan negeri juga perlu menjamin integriti penjawat awam melalui latihan berterusan, pemantauan ketat dan tindakan disiplin yang tegas.

“Kerajaan Negeri Perak tidak boleh sekadar menunggu hasil siasatan pihak berkuasa. Ia mesti proaktif menunjukkan komitmen menjaga kepentingan rakyat dan tanah negeri Perak,” katanya.

Tambah beliau, pembangkang negeri itu akan terus memainkan peranan semak dan imbang serta sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan setiap inci tanah Perak diurus secara telus, adil dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat.

Semalam, media melaporkan seorang penolong pegawai tanah di Perak direman selama lima hari kerana disyaki menyalahguna kuasa menggunakan butiran palsu bagi urusan pindah milik tanah di negeri ini tahun lalu.

Perintah reman sehingga Isnin itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, Noor Azreen Liana Mohd Darus selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut direman seorang individu yang bertindak sebagai broker tanah bagi urusan berkenaan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast