Setiausaha Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan, Ameer Khan Bargathalli (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media pada sesi penyerahan satu memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 26 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Isu perumahan dan pampasan di Jinjang Selatan Tambahan yang berlarutan lebih dua dekad terus menjadi perhatian apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dicabar untuk berdebat secara terbuka.

Cabaran itu disuarakan Setiausaha Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan, Ameer Khan Bargathalli yang menegaskan, penduduk terbabit terlalu lama menunggu penyelesaian.

Namun sehingga kini berdepan pelbagai masalah termasuk pampasan tidak setimpal, rumah yang dijanjikan tidak dibina serta ketirisan hak yang mengakibatkan penduduk asal tercicir.

“Kalau kamu (Dr Akmal) anak jantan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, mari berdebat dengan saya. Jangan hanya jadi jaguh kampung yang tidak tahu masalah kami lebih 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menyerahkan memorandum keempat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif hari ini supaya isu perumahan melibatkan Kampung Sungai Baru, Kampung Ipoh Peng dan Jinjang Selatan Tambahan diselesaikan segera.

Sebelum ini, pada 23 September lalu, Dr Akmal telah mempersoalkan tindakan dua darjat pihak berkuasa dalam menangani isu perobohan rumah di Kampung Sungai Baru dan Jinjang Selatan Tambahan.

Tindakan tidak konsisten itu menimbulkan persoalan mengenai prinsip keadilan apabila penduduk Kampung Sungai Baru yang merupakan pemilik tanah berdepan perobohan manakala rumah di Jinjang Selatan Tambahan yang dikatakan didirikan di tanah kerajaan masih kekal.

Menurut Ameer, antara isu utama yang diperjuangkan adalah penduduk pemegang lesen penduduk sementara (TOL) yang tercicir daripada menerima pampasan, pemilik kedai di Jinjang Selatan Tambahan yang hanya ditawarkan pampasan RM5,000.

“Selain itu, rumah keluarga kedua yang dijanjikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih tidak dibina serta kegagalan pihak berkuasa menyiasat ketirisan hak penduduk.

“Bayangkan, pampasan RM5,000 pada tahun 2025 sedangkan nilai kedai hari ini mencecah RM300,000. Rumah keluarga pertama pula sudah 15 tahun ditunggu tetapi tidak siap-siap.

“DBKL juga meminta penduduk dibanci satu persatu tetapi gagal menyiasat pihak yang didakwa ‘mencuri hak dan pampasan’ sehingga ramai penduduk asal tidak menerima rumah,” dakwanya.

Memorandum tersebut telah diterima oleh Pegawai Khas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Khairul Azlan Yusuf di sini pagi tadi.

Sekiranya tiada tindakan lanjut dari DBKL, Ameer berjanji untuk terus memperjuangkan segala tuntutan termasuk pemberian rumah yang dijanjikan kepada penduduk di situ. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast