Penunjuk perasaan mempamerkan plakad dan berjalan menuju ke luar kedutaan Amerika Syarikat katika protes halau Trump di Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 26 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan individu yang mendakwa mewakili rakyat Malaysia membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Rata-rata mereka menyifatkan, tiada keperluan untuk Trump datang ke sini kerana AS tidak termasuk dalam ASEAN.

Malah, mereka beranggapan AS tidak perlu campur dalam sidang kemuncak itu kerana didakwa terlibat dengan genosid dan pembantaian terhadao rakyat Palestin di Gaza yang menjadi perhatian seluruh dunia.

Penunjuk perasaan berjalan menuju ke luar Kedutaan Amerika Syarikat ketika protes halau Trump di Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 26 SEPTEMBER 2025.

Seorang Guru Pendidikan dan Fardhu Ain, Mohamad Abd Razak berkata, apa yang dilakukan oleh AS ketika ini merupakan satu jenayah besar yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun.

Katanya, AS telah bersekongkol dengan rejim Zionis Israel dan penolakan terhadap pemimpin negara itu wajar dilakukan dengan sekeras-kerasnya.

“Saya menyertai perhimpunan ini sebagai menyuarakan pandangan sebagai rakyat Malaysia yang dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan.

“Kita nak beritahu jenayah yang dilakukan oleh pihak Zionis terhadap penduduk Palestin adalah satu yang tak boleh diterima.

“Kami berdiri di sini untuk mengekspresikan dan menyuarakan kepada Zionis dan sekutu-sekutu mereka bahawa mereka perlu ada hati untuk tidak meneruskan kekejaman terhadap rakyat Palestin terutamanya kanak-kanak di Palestin,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan protes terhadap kehadiran Trump di hadapan Kedutaan Amerka Syarikat, dio Jalan Tun Razaj di sini, hari ini.

Penunjuk perasaan mempamerkan plakad dan berjalan menuju ke luar kedutaan Amerika Syarikat semasa protes halau Trump di Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 26 SEPTEMBER 2025.

Katanya, Malaysia tidak boleh berdiam diri dengan membiarkan sekutu zionis meneruskan kezaliman tanpa ada suara-suara penentangan.

Tambah beliau, rakyat pelu bimbang sekiranya perkara sama boleh berlaku di negara ini dan oleh sebab itu bantahan perlu  diakukan.

Seorang peserta yang hanya mahu dikenali Hani, 26 berkata, dia menyertai protes yang diadakan sebagai  solidariti terhadap rakyat Palestin yang ditindas dan diseksa dengan kejam oleh Zionis Israel dan AS merupakan sekutu rapat mereka.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh berdiam diri dalam isu keganasan dan mempelawa Trump datang ke negara ini adalah sesuatu yang tidak wajar.

Hani

“Kita tak boleh biarkan orang-orang yang menzalimi rakyat Palestin ini berada di sini. Kalau kita sayangkan saudara kita di Palestin kita kena tunjukkan kita berada bersama mereka.

“Kita tak faham kenapa Trump ini dijemput datang ke negara ini sedangkan mereka telah memberi tusukkan kepada rakyat Palestin dengan menaja Israel.

“ASEAN ini untuk ASEAN. ASEAN untuk Indo Pasifik, apa tujuan AS datang ke mari,” soalnya.

Sementara itu, seorang lagi peserta perhimpunan, Fedya (nama samaran), 38, berkata, Malaysia sepatutnya prihatin dengan nasib yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza.

Fedya

Katanya, mengajak Trump untuk datang ke Malaysia adalah sesuatu yang mendukacitakan kerana seluruh dunia tahu apa yang telah dilakukan oleh Zionis terhadao rakyat Palestin dan AS adalah sekutu rapatnya.

“Kami kecewa dengan apa yang berlaku di Gaza. Meskipun telah enam kali diberitahu supaya genosid dihentikan tapi, ia tetap juga berlaku.

“Kita hanya nak beritahu apa yang berlaku sekarang ini tidak normal. AS pun bukan dalam negara ASEAN, jadi buat apa dia nak menyibuk di sini. Saja je dia nak tunjuk kuasa,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Malaysia menantikan kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan.

Katanya, sidang berkenaan akan menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Sebelum itu, Anwar berbual dengan Trump melalui panggilan telefon.

Perbualan telefon itu berlangsung ketika Anwar menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer yang kini berada di Malaysia sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan.

Terdahulu, himpunan disertai kira-kira 50 peserta yang bermula pukul 2.30 petang dihalang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tidak dibenarkan mendekati bangunan Kedutaan AS.

Bagaimanapun, polis bertindak profesional dengan memberikan kebenaran untuk mereka berhimpun selama 10 minit di luar bangunan kedutaan dengan syarat tidak melakukan sebarang provokasi yang melanggar undang-undang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast