KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan memaklumkan, gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), 28 Ogos lalu adalah disebabkan kewujudan arus edaran (circulating current) yang terhasil di sepanjang laluan kabel di antara Pencawang 33kV yang membekalkan kuasa ke KLIA2 dengan pencawang-pencawang 11kV di Terminal.

Katanya, laporan siasatan teknikal yang dilakukan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mendapati, keadaan itu menyebabkan pemanasan setempat pada penamatan kabel sehingga berlakunya insiden flashover.

Selain itu, faktor rintangan tanah (Soil Resistivity – SR) yang tinggi turut menyumbang secara tidak langsung dengan menghalang pelepasan arus ke bumi secara berkesan, sekaligus meningkatkan tekanan haba pada kabel pelindung (sheath wires).

Menurut Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini, laporan tersebut telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri, 24 September lalu.

Tambahnya, MAHB juga mengesahkan insiden tersebut tidak menjejaskan sebarang operasi kritikal di lapangan terbang berkenaan.

MAHB juga katanya, mengenal pasti beberapa tindakan penambahbaikan jangka panjang bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan sistem di lapangan terbang selain melaksanakan pembaikan segera ketika insiden berlaku.

“Fokus utama Kerajaan adalah memastikan insiden ini ditangani segera dengan langkah pencegahan yang berkesan supaya kejadian seumpamanya tidak berulang,” kata Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kementerian Pengangkutan, antara langkah jangka panjang yang dikenal pasti adalah melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pemasangan sistem Automatic Transfer Switch (ATS) bagi mempercepat kan bekalan kuasa sokongan serta mengoptimumkan penggunaan generator bagi melindungi lebih banyak perkhidmatan kritikal.

Selain itu, jadual penyelenggaraan Planned Preventive Maintenance (PPM) untuk ujian beban genset di Gateway@klia2 akan dipendekkan daripada tiga bulan kepada dua bulan sekali bagi meningkatkan tahap kebolehpercayaan serta pengesanan awal insiden flashover.

MAHB juga katanya, akan melaksanakan kajian menyeluruh mengenai rintangan tanah di sepanjang laluan kabel, termasuk analisis bermusim dan keberkesanan sistem pembumian serta cross bonding, supaya risiko arus beredar dapat dikawal dengan lebih berkesan pada masa hadapan selain meningkatkan keberkesanan sistem pembumian.

“Kementerian Pengangkutan akan terus memantau pelaksanaan langkah-langkah susulan oleh MAHB bagi memast ikan tahap keselamatan, kecekapan, dan kebolehpercayaan sistem di KLIA sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Gangguan elektrik di KLIA Terminal 2 tidak boleh diterima

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast