KUANTAN – Pelaksanaan subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) yang bermula hari ini melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disambut baik golongan beruniform itu.
Seorang anggota tentera, Fakrul Aintullah, 30, berkata, inisiatif itu jelas memberi manfaat khususnya kepada warga askar yang diberi keutamaan menikmati subsidi tersebut.
“Rakan-rakan sepasukan ada yang mencuba seawal jam 3 pagi. Kebanyakan menggunakan aplikasi Setel dan MyKad untuk menebus subsidi dan memang memudahkan.
“Walaupun ada yang kira penjimatan sekitar RM18 sahaja, tapi sekurang-kurangnya usaha ini tetap ada manfaat untuk rakyat. Biasalah, kita nak lebih, tapi yang penting kerajaan dah beri ruang untuk merasa,” katanya.

Bagi pengusaha stesen minyak, Azizi Nurudin, pihaknya menerima pelanggan seawal jam 3 pagi melibatkan anggota polis dan tentera.
“Sebagai pengusaha, kami sambut baik langkah ini kerana pelaksanaannya tidak mendadak. Kakitangan stesen sempat dilatih, jadi operasi berjalan lancar.
“Subsidi ini membantu rakyat, terutama mereka yang berpendapatan sederhana dan mempunyai ramai tanggungan. Ia juga memastikan manfaat dinikmati warganegara, bukan orang luar yang perlu bayar harga pasaran,” katanya.
Azizi turut menyambut baik syarat pembelian yang ditetapkan kepada warganegara berusia 16 tahun ke atas dan mempunyai lesen memandu sah kerana dapat membendung masalah pemandu bawah umur.

Seorang anggota polis yang hanya mahu dikenali sebagai Hanif pula berkata, pemberian subsidi lebih awal kepada polis dan tentera sedikit sebanyak mengurangkan kesesakan di stesen minyak.
“Langkah ini wajar. Mungkin ada pihak kata BUDI95 ‘gula-gula pilihan raya’, tapi bagi kami sebagai rakyat tetap bersyukur kerana diberi kemudahan ini.
“Sekurang-kurangnya ia menjimatkan masa kerana golongan kami dapat menikmati lebih awal sebelum orang lain,” katanya.
Menerusi inisiatif BUDI95, seramai 300,000 anggota tentera dan polis layak membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini.
Inisiatif BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat, dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menikmatinya esok, sebelum diperluas kepada warga Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif mulai 30 September ini.
Melalui inisiatif itu, rakyat Malaysia layak membeli hingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada kadar RM1.99 seliter. – MalaysiaGazette
















