Mohd Yusoff Mahadi

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan berdiam diri susulan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan sekatan terhadap tujuh pemain warisan hingga menjejaskan kelayakan mereka untuk menyarung jersi kebangsaan.

Pemangku Presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu mengejutkan kerana FIFA sebelum ini telah memberikan pengesahan rasmi bahawa pemain berkenaan layak beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

“FAM dan para pemain telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses ini. Semua dokumentasi diuruskan secara teratur mengikut garis panduan antarabangsa.

“Malah, FIFA sendiri sudah meneliti kelayakan pemain warisan berkenaan sebelum memberikan lampu hijau,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu kata beliau, FAM akan mengemukakan rayuan rasmi menggunakan semua saluran perundangan yang ada demi mempertahankan hak pemain serta maruah bola sepak negara.

“FAM kekal komited untuk bertindak tegas, mematuhi peraturan antarabangsa dan mempertahankan integriti sukan ini.

“Kami juga akan bekerjasama dengan kerajaan serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan semangat kesukanan dan keadilan ditegakkan,” ujarnya.

Tambah beliau, perkembangan mengenai proses rayuan dan langkah susulan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Semalam, FIFA dalam kenyataan memaklumkan mengenakan sekatan ke atas FAM bersama tujuh pemain kebangsaan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan, FAM didapati mengemukakan dokumen palsu dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Keputusan FIFA itu dilihat mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air yang menganggap ia bukan sekadar isu kelayakan pemain, sebaliknya melibatkan soal prinsip, kredibiliti dan kedudukan Malaysia di mata dunia. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan:-

FIFA denda FAM, gantung 7 pemain warisan kemuka dokumen palsu

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast