Kenyataan FIFA mengenai sekatan terhadap FAM kerana melanggar Kod Disiplin berkaitan pemalsuan dokumen 7 pemain naturalisasi.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengenakan sekatan ke atas
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain kebangsaan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan, FAM didapati mengemukakan dokumen palsu dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

“Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

“Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

“Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta,” kata FIFA dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Dari kiri – Rodrigo Julian Holgado, Jon Irazabal Iraurgui, Joao Vitor Brandao Figueiredo dan Imanol Javier Machuca.

FIFA turut merujuk isu kelayakan pemain terbabit untuk mewakili Malaysia kepada Tribunal Bolasepak FIFA bagi pertimbangan lanjut.

Pada masa sama, FAM dan semua pemain tersebut sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu hari ini dengan hukuman berkenaan masih boleh dirayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Untuk rekod, sembilan daripada 11 pemain utama Malaysia pada aksi menentang Vietnam adalah pemain naturalisasi, dengan lima daripadanya iaitu Figueiredo, Holgado, Irazabal, Garces dan Machuca.

Mereka menerima kelulusan FIFA hanya beberapa jam sebelum sepak mula pada 10 Jun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast