KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu membentangkan laporan keberhasilan program pemakaian lencana Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar yang mula dilaksanakan April lalu.
Pemerhati pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, rakyat berhak mengetahui impak daripada program yang menelan belanja kira-kira RM8.5 juta itu khususnya dari sudut meningkatkan semangat patriotik khususnya dalam kalangan pelajar.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM berkata, sebagai sebahagian daripada dasar pendidikan kenegaraan, KPM semestinya mempunyai laporan hasil pembelajaran yang boleh diukur menerusi pelaksanaan inisiatif tersebut.

“Setahu saya setakat ini belum ada lagi hasil yang telah dibentangkan. Kita harapkan akan dibentangkan kemudian.
“Alasan yang boleh kita terima, “tak kan hari ni kahwin, esok dapat anak”.
“Tetapi perbelanjaan sebesar RM8.4 juta untuk membeli lencana bendera, apa agaknya hasil yang boleh kita ukur nanti?
“Apakah akan ada laporan kajian impak kepada murid-murid yang memakai lencana tersebut?
“Lestarikah kelangsungan program ini? Atau nasibnya hanya separuh jalan seperti program Sekolahku Sejahtera sebelum ini? Apa pun, rakyat berhak tahu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Menurut Anuar, beliau dari awal kurang bersetuju dengan perbelanjaan inisiatif dan beranggapan terdapat kos yang jauh lebih murah sekiranya mahu memperkenalkan Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar.
Paling mudah, ujarnya, setiap bilik darjah diwajibkan memasang satu Jalur Gemilang besar di sebelah papan hitam, supaya boleh dilihat semua pelajar setiap hari.
Malah, katanya, jika dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kerajaan tidak perlu membelanjakan satu sen pun duit untuk program seperti itu, kerana pasti ada ibu bapa yang bersedia untuk menaja.
“Adakah ini bermakna saya suka tolak usaha orang lain? Benda baik pun nak kritik. Jawabnya tentulah tidak. Saya bukan begitu.
“Apabila PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) beri peruntukan sebanyak RM100 juta dalam Bajet 2024 untuk menangani isu Keciciran 3M (membaca, menulis, dan mengira), saya sokong penuh.
“Tergamam saya semasa mendengar pengumuman tersebut.
“Bersyukur sangat sebab isu Keciciran 3M mendapat perhatian PMX di dalam Bajet 2024,” katanya.
Malah, tambah Anuar, beliau secara probono terus bersetuju apabila dilantik sebagai panel penilai luar untuk program ANAK KITA yang dianjurkan oleh Yayasan Hasanah menggunakan peruntukan RM100 juta.
Jelasnya, peruntukan RM100 juta melalui program ANAK KITA itu juga telah berjaya membantu puluhan ribu murid-murid sekolah rendah yang keciciran dalam aspek 3M.
“Bayangkan puluhan ribu anak-anak ini kini boleh belajar dengan lebih baik kerana inisiatif program ANAK KITA.
“Malah telah pun dilaporkan jumlah anak-anak yang berjaya kuasai 3M selepas beberapa bulan program ini berjalan,” katanya. – MalaysiaGazette
















