FRANKFURT – Jerman bercadang membenarkan tentera menembak jatuh dron selepas satu “gerombolan” pesawat udara tanpa pemandu itu dikesan di Schleswig-Holstein, di negeri utara yang bersempadan dengan Denmark, kata Menteri Dalam Negeri, Alexander Dobrindt.
Insiden itu berlaku pada Jumaat dan menimbulkan kebimbangan keselamatan, susulan beberapa siri penerbangan dron berhampiran lapangan terbang serta pangkalan tentera di Denmark dan Norway baru-baru ini.
Walaupun tiada bukti kukuh dikemukakan, kecurigaan tertumpu kepada Rusia.
Namun, Moscow menafikan terlibat, namun Jerman sejak lama menuduh Rusia menjalankan operasi pengintipan dan pemantauan.
“Kita sedang berdepan ancaman hibrid berterusan,” kata Dobrindt, sambil menekankan gerombolan dron sebegini belum pernah berlaku sebelum ini walaupun aktivitinya meningkat sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Beliau mahu undang-undang keselamatan udara dipinda bagi membenarkan angkatan tentera menembak jatuh dron, terutamanya jika mengancam nyawa atau infrastruktur kritikal.
Setakat ini, polis memegang tanggungjawab utama pertahanan dron di dalam negara.
Namun cadangan itu menimbulkan bantahan.
GdP, kesatuan polis Jerman menegaskan keselamatan domestik adalah bidang kuasa polis, bukan tentera.
Jerman sebelum ini juga keberatan menembak jatuh dron kerana bimbang serpihan mencederakan orang awam.
Dron menjadi elemen penting dalam konflik Ukraine, mendorong negara-negara NATO di sempadan Rusia merancang membina “tembok pertahanan dron” menggunakan teknologi dan aset ketenteraan untuk menangkis ancaman udara ini. – Agensi
















