KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya mencatatkan dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penganjuran Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.
Rekod pertama ialah penyertaan gotong-royong teramai dengan menglibatkan 100,817 orang peserta di seluruh negara, sekali gus memecahkan rekod penyertaan tahun lalu yang merekodkan 58,007 orang.
Manakala rekod kedua pula adalah pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak dalam sehari dengan jumlah keseluruhan 27,679.31 kilogram, bersamaan nilai jualan RM79,684.56.
Kutipan ini membabitkan penyertaan 10 negeri termasuk Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu bukan sahaja menjadi sejarah baharu, malah simbol perpaduan rakyat.
“Ia membuktikan bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan generasi kini dan masa depan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Selain dua rekod baharu tersebut, HCM 2025 turut mencatatkan kutipan 6,462 tan metrik sisa pepejal hasil gotong-royong di seluruh negara.
Kutipan itu meliputi sisa plastik, kayu, tekstil, kertas dan sisa kebun yang dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan serta syarikat konsesi.
Sijil pengiktirafan MBOR telah disampaikan oleh wakil MBOR, Siti Hajar Johor kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPKT, Datuk Mohd Zamri Mat Zain sebagai tanda pencapaian bersejarah itu.
Program kemuncak kebersihan nasional itu telah menghimpunkan ribuan sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi menjayakan aktiviti gotong-royong, pembersihan serta kitar semula.
Penganjuran HCM 2025 turut melibatkan penyertaan meluas membabitkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, komuniti setempat, syarikat pembersihan, pemaju perumahan, persatuan industri, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menjadikannya gotong-royong terbesar negara. – MalaysiaGazette















