Oleh: Rasfan Abu Bakar
BARU– baru ini tiga orang pengamal tarian Kuda Kepang telah didakwa di Mahkamah Syariah Batu Pahat, Johor, kerana melakukan upacara memuja jin ketika melakukan persembahan Kuda Kepang. Mereka di tuduh di bawah Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 iaitu kesalahan berhubung akidah: pemujaan salah dan Seksyen 43(b) bagi persubahatannya, yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru itu artikel ini cuba memberi pemahaman tentang sejarah ringkas berkaitan Kuda Kepang, agama, budaya serta tanggungjawab buat semua warga Malaysia. Kuda kepang merupakan salah satu bentuk seni tari tradisional yang berkembang pesat di Johor dan menjadi sebahagian daripada warisan budaya masyarakat Jawa di Malaysia. Tarian ini melibatkan penggunaan kuda yang diperbuat daripada anyaman buluh atau rotan diiringi muzik gamelan serta disertai pergerakan berirama yang menyerupai pergerakan kuda.
Pada awalnya, kuda kepang bukan sekadar hiburan tetapi turut mempunyai fungsi ritual dan keagamaan yang berkait rapat dengan sejarah migrasi masyarakat Jawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19. Perkembangan kuda kepang daripada satu bentuk ritual ke arah hiburan menunjukkan interaksi yang kompleks antara agama, budaya dan identiti masyarakat. Dari sudut sejarah dan agama, kuda kepang dikatakan berasal daripada pengaruh Islam yang dibawa oleh masyarakat Jawa. Menurut sejarah lisan, tarian ini pada mulanya dicipta oleh Wali Songo iaitu sembilan tokoh penyebar Islam di Jawa sebagai medium dakwah.
Tarian kuda kepang digunakan untuk menceritakan kisah-kisah nabi, peperangan menentang kezaliman serta pengajaran moral berdasarkan ajaran Islam. Kuda yang digunakan dalam tarian dianggap simbol perjuangan, keberanian dan kesetiaan manakala muzik yang mengiringi pula berfungsi sebagai medium penyatuan antara pelaku dan penonton (Said, 2021). Namun, seiring dengan peredaran zaman, unsur dakwah dalam kuda kepang semakin berkurangan dan tarian ini lebih menonjol sebagai persembahan kebudayaan.
Bagaimanapun, kuda kepang sering dikaitkan dengan unsur kerohanian dan mistik. Dalam sesetengah persembahan, pemain tarian dipercayai boleh dirasuki roh atau memasuki keadaan menurun (trance) yang menjadikan tarian ini penuh dengan simbolisme spiritual. Pemain yang berada dalam keadaan ini dikatakan mampu melakukan aksi luar biasa seperti bersilat, memakan kaca, mengunyah bunga atau menari tanpa sedar.
Fenomena ini menimbulkan perdebatan dalam kalangan
masyarakat Islam di Malaysia kerana ia dikhuatiri bercanggah dengan prinsip akidah. Malah, terdapat pandangan ulama tempatan yang menganggap elemen menurun ini lebih dekat dengan kepercayaan animisme dan sinkretisme yang diwarisi daripada budaya Jawa pra-Islam (Husin, 2022).
Perdebatan ini menunjukkan bagaimana seni tradisional boleh menjadi titik pertembungan antara nilai budaya dan tuntutan agama. Dari aspek budaya, kuda kepang berfungsi sebagai medium identiti masyarakat Jawa di Malaysia.
Bagi komuniti Jawa, kuda kepang bukan sahaja melambangkan hubungan mereka dengan tanah asal tetapi juga sebagai cara mengekalkan warisan dalam generasi baharu. Persembahan ini biasanya dilakukan sempena majlis perkahwinan, kenduri atau sambutan tertentu bagi menandakan peranan sosial yang penting dalam memperkukuh ikatan komuniti. Dalam konteks Malaysia yang majmuk, kuda kepang juga menjadi simbol keunikan budaya tempatan yang berakar daripada migrasi dan asimilasi.
Persembahannya sering diadakan pada festival kebudayaan peringkat negeri dan kebangsaan lalu menjadikannya salah satu tarikan pelancongan budaya negara. Menariknya, kuda kepang turut berfungsi sebagai alat integrasi budaya. Meskipun
berasal daripada masyarakat Jawa, ia kini diterima oleh masyarakat Melayu lain, malah ditonton oleh pelbagai kaum di Malaysia.
Perkongsian budaya ini memperlihatkan bagaimana seni tradisional boleh menjadi jambatan antara etnik, sekali gus
memperkukuh semangat perpaduan. Namun, isu yang sering timbul adalah bagaimana memastikan kuda kepang dapat terus dipelihara tanpa mengorbankan nilai agama dan sensitiviti masyarakat moden.
Dalam hal ini, beberapa kumpulan kuda kepang di Johor telah mengambil langkah dengan menekankan aspek hiburan semata-mata, mengurangkan elemen menurun dan mengekalkan tarian sebagai warisan seni yang lebih selaras dengan ajaran Islam (Ismail, 2023). Dari sudut pendidikan pula, pusat pendidikan tinggi boleh memainkan peranan dengan menjadikan seni kuda kepang sebagai sebahagian daripada kurikulum pengajian budaya, seni persembahan dan warisan di universiti.
Melalui pengajaran di universiti, generasi muda dapat melihat kuda kepang bukan sekadar hiburan atau ritual, tetapi
sebagai objek akademik yang mempunyai nilai sejarah, antropologi, sosiologi, dan agama. Pendedahan ini penting untuk melahirkan penggiat seni, pendidik dan penyelidik yang mampu mendokumentasikan, menafsir serta mempersembahkan
semula kuda kepang dalam konteks kontemporari.
Untuk mengekalkan kelangsungan kuda kepang, beberapa strategi boleh dilaksanakan. Pertama, dokumentasi yang sistematik melalui rakaman video, penulisan ilmiah dan penyelidikan lapangan perlu diperbanyakkan bagi memastikan warisan ini tidak hilang ditelan masa. Kedua, usaha pengkomersialan yang beretika seperti mempersembahkan kuda kepang dalam festival pelancongan dan program kebudayaan boleh meningkatkan daya tarikan masyarakat terhadap seni ini tanpa mengorbankan keaslian.
Ketiga, pendidikan tidak formal melalui bengkel seni, kelas tarian dan kerjasama dengan sekolah rendah dan menengah boleh menanam minat generasi muda. Pendekatan ini bukan sahaja mengekalkan warisan, tetapi juga memupuk rasa bangga
terhadap identiti budaya tempatan.
Dalam konteks ini, peranan pengkaji akademik sangat penting. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab mendokumentasikan sejarah, muzik dan gerak tari kuda kepang, tetapi juga perlu mengkaji isu-isu kontemporari seperti perdebatan agama, transformasi sosial dan cabaran globalisasi terhadap seni tradisional. Pengkaji akademik boleh menjadi penghubung antara komuniti pelaku kuda kepang, pihak berautoriti dan masyarakat umum dengan menghasilkan kajian yang bersifat kritis tetapi membina.
Selain itu, mereka juga boleh mencadangkan dasar budaya yang lebih inklusif bagi memastikan seni tradisional terus hidup tanpa menjejaskan sensitiviti agama. Kesimpulannya, kuda kepang merupakan seni tradisional yang unik kerana menggabungkan unsur agama dan budaya secara serentak. Ia bermula sebagai medium dakwah Islam, namun berkembang menjadi satu bentuk hiburan dan simbol identiti masyarakat Jawa di Malaysia.
Walaupun wujud kontroversi berkaitan unsur mistik seperti menurun yang dikaitkan dengan amalan tidak selari dengan ajaran Islam, kuda kepang tetap mempunyai nilai budaya yang tinggi. Melalui pendidikan di universiti, strategi pemuliharaan dan penglibatan aktif pengkaji akademik, seni kuda kepang berpotensi untuk terus dipelihara sebagai warisan seni yang hidup. Dengan pendekatan yang seimbang, ia boleh terus dihargai sebagai khazanah budaya, sejarah dan ilmu yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan
















