Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bergambar bersama peserta yang menyertai larian MARA Fun Run Anak Malaysia 2025 di hadapan Bangunan Medan Mara, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Lebih 1,800 peserta menyertai MARA Fun Run Anak Malaysia 2025 yang menghimpunkan warga kerja Majlis Amanah Rakyat (MARA), pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), ahli keluarga, usahawan, komuniti setempat serta orang ramai.

Acara yang berlangsung di perkarangan Ibu Pejabat MARA dengan laluan KL Car Free Morning itu disempurnakan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, program itu merupakan kemuncak kepada siri inisiatif MARA Sihat: The Sweet Escape yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga MARA dan komuniti.

Aksi peserta yang menyertai larian MARA Fun Run Anak Malaysia 2025 di hadapan Bangunan Medan Mara, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 SEPTEMBER 2025

Menurut beliau, ia menekankan kepentingan aktiviti fizikal, pemakanan seimbang dan kesedaran kesihatan bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan obesiti.

“Program ini seiring dengan aspirasi Kempen War on Sugar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Edisi keenam ini juga menzahirkan MARA sebagai sebuah “unified entity” yang menggembleng kekuatan pelbagai bahagian dalaman, subsidiari, NGO, kelab sukan, pelajar institusi pendidikan MARA (IPMA), komuniti serta rakan strategik di bawah satu agenda bersama selaras dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025,” katanya di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman serta barisan pegawai pengurusan tertinggi agensi itu.

Kemeriahan MARA Fun Run Anak Malaysia 2025 yang diiadakan di hadapan Bangunan Medan Mara, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 SEPTEMBER 2025

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, sepanjang bulan sambutan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, MARA turut menganjurkan pelbagai program berteraskan kecintaan kepada tanah air menerusi aktiviti kesukarelawanan serta penghayatan sejarah.

Katanya, kesungguhan itu menggambarkan komitmen MARA untuk memastikan nilai patriotisme terus subur dalam kalangan warga kerjanya, pelajar dan komuniti.

“Penganjuran MARA Fun Run Anak Malaysia 2025 hari ini menjadi kemuncak kepada siri inisiatif tersebut, sekali gus menzahirkan semangat kebangsaan dan kebersamaan dalam bentuk yang lebih inklusif dan segar.

“MARA menegaskan entiti ini bukan sahaja berperanan sebagai agensi pembangunan, malah turut berfungsi sebagai platform inklusif yang menyatukan warga kerja, pelajar, usahawan, komuniti dan rakyat Malaysia.

“Penganjuran MARA Fun Run Anak Malaysia 2025 membuktikan bahawa nilai kesihatan, kebersamaan dan kecintaan kepada tanah air boleh dijalin secara harmoni dalam satu program yang menyatukan semua pihak,” katanya.

Pelbagai golongan menyertai larian MARA Fun Run Anak Malaysia 2025 di hadapan Bangunan Medan Mara, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 SEPTEMBER 2025

Sementara itu selain acara larian santai, MARA Fun Run Anak Malaysia 2025 turut dimeriahkan dengan senamrobik, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, serta persembahan berkonsepkan patriotik melibatkan pelajar dan artis komuniti MARA.

Penyampaian hadiah bagi pertandingan sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia turut diadakan, antaranya Pertandingan Dramadeka, Bintang Patriotik, OOTD Merdeka Style, dan Pertandingan Mewarna Kemerdekaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast