Aliff Hilmi

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menjemput Pas untuk bersama-sama menyertai Konvensyen Melayu Bandar yang akan menyentuh mengenai isu Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada 3 Oktober ini.

Exco Pemuda UMNO, Aliff Hilmi berkata, ia bagi memastikan suara sayap kedua-dua parti itu lebih kuat dan usaha menolak perkara yang merugikan rakyat dapat dilakukan secara bersepadu dengan pendekatan yang lebih bermaruah dan berkesan.

Terdahulu, beliau mengulangi pendirian Pemuda UMNO untuk tidak menyertai himpunan menolak Rang Undang-Undang (RUU) PSB anjuran Pemuda Pas pada 4 Oktober ini kerana berpandangan fokus utama dalam isu itu adalah mencari solusi yang berkesan, bukannya sekadar melakukan sesuatu ‘seperti melepaskan batuk di tangga’.

“Pemuda UMNO sentiasa konsisten memperjuangkan suara rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah di bandar tetapi perjuangan ini mestilah berasaskan fakta, perbincangan ilmiah dan cadangan yang membuahkan hasil.

“Bagi kami Pemuda UMNO, penyelesaian lebih penting daripada retorik.

“Rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan mainan politik tanpa sebarang hala tuju jelas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pemuda Pas sebelum ini mengumumkan akan menganjurkan Himpunan Mega Tolak PSB di ibu negara pada 4 Oktober ini, dan turut menjemput UMNO untuk bersama-sama menyertai himpunan tersebut.

Bagaimanapun, Pemuda UMNO menolak jemputan itu sebaliknya semua pihak duduk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik berhubung RUU PSB sebelum mengambil tindakan berhimpun sebagai bantahan.

Baru-baru ini,, UMNO mengumumkan akan menganjurkan Konvensyen Melayu Bandar khusus menyentuh mengenai isu RUU PSB pada 3 Oktober ini, melalui jawatankuasa khas yang dipengerusikan Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Konvensyen itu dijangka dihadiri 1,000 peserta daripada persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik dengan resolusi yang dicapai akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast