Pengarah Komunikasi Amanah yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media mengenai pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sudah memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar terhadap aktivis Rafidah Ibrahim berhubung kes saman fitnah terhadapnya berkaitan isu Kampung Sungai Baru.

Peguam Zulhazmi Sharif yang mewakili Khalid memberitahu MalaysiaGazette hari ini, notis permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini ekoran kegagalan aktivis itu selaku defendan memasukkan notis kehadiran bagi menjawab saman tersebut.

Beliau menjelaskan, Rafidah mempunyai tempoh 14 hari untuk memasukkan kehadiran bermula dari tarikh afidavit penyampaian ganti diikrarkan pertengahan bulan lalu, namun tempoh itu telah tamat.

Peguam, Zulhazmi Shariff bercakap pada sidang media mengenai pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok bagi pengurusan kes saman tersebut. Menurut semakan laman web mahkamah, prosiding secara e-review itu akan dijalankan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Syalia Ain Zainuddin.

“Defendan sepatutnya memfailkan kehadiran atau melantik peguam sebelum Jumaat lalu untuk menjawab saman fitnah yang difailkan terhadapnya.

“Namun hingga kini, dia enggan berbuat demikian dan tidak mahu menerima saman itu meskipun kami telah menyerahkan writ saman melalui penyampaian ganti.

“Oleh yang demikian kami telah memfailkan perakuan ketidakhadiran, afidavit penyampaian ganti dan notis penghakiman ingkar terhadapnya.

“Kami fail notis ketidakhadiran bagi memperakukan bahawa setakat hari ini, defendan masih tidak melantik peguam atau tidak memasukkan kehadiran,” ujar beliau ketika dihubungi portal ini.

Penghakiman ingkar kehadiran (JID) ialah keputusan mahkamah yang dikeluarkan terhadap defendan yang gagal memasukkan kehadiran atau pembelaan mereka dalam tempoh yang ditetapkan selepas diserahkan writ saman atau saman pemula.

Kegagalan ini menunjukkan defendan tidak memberi maklum balas atau mempertahankan kes mereka, yang boleh mengakibatkan penghakiman muktamad atau interlokutori, serta tindakan penguatkuasaan seperti penyitaan harta benda dan tindakan mahkamah.

Zulhazmi selanjutnya menjelaskan, pihaknya memfailkan notis  penyampaian ganti melalui siaran akhbar, tampalan notis di mahkamah dan di alamat kediamannya, namun Rafidah enggan menerimanya.

Semakan portal ini menunjukkan, afidavit penyampaian ganti melalui penampalan writ saman dan pernyataan tuntutan telah diletakkan di Papan Kenyataan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan di alamat terakhir defendan pada 13 Ogos dan 14 Ogos lalu serta difailkan pada 20 Ogos lalu.

Wakil penduduk Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media pada sesi penyerahan satu memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 26 SEPTEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

 

Pada satu sidang media 17 September lalu, Zulhazmi yang mewakili Khalid berkata, Rafidah dikehendaki hadir ke mahkamah esok bagi menjelaskan pendirian berhubung kes saman yang difailkan terhadapnya.

Menurut peguam, pihaknya telah menghantar saman dan notis pemakluman kehadiran ke mahkamah kepada Rafidah melalui beberapa kaedah sebelum ini, namun dia enggan menerima secara telus.

“Kita sudah mendapat perintah untuk menyampaikan serahan ganti termasuk melalui siaran akhbar, tampalan notis di mahkamah dan di alamat kediamannya,” ujarnya.

Terdahulu, Khalid dalam sidang media sama turut menegaskan akan meneruskan tindakan saman terhadap Rafidah berhubung kenyataan status tanah di kawasan berkenaan. Writ saman fitnah itu difailkan pada 8 Mei lalu.

Beliau menolak dakwaan bahawa Kampung Sungai Baru merupakan sebahagian daripada Tanah Rizab Melayu, sebaliknya menjelaskan kawasan tersebut hanya wujud pada tahun 1960-an selepas proses pelurusan sungai.

Geran Kampung Sungai Baru adalah pegangan pajakan  selama 99 tahun, sedangkan Enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) digubal pada awal 1900-an.

Maka, adalah mustahil Kampung Sungai Baru termasuk dalam kawasan MAS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast