KUALA LUMPUR – Tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menggantung tujuh pemain berdarah warisan kerana pemalsuan dokumen jelas memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena dalam cara pemberian kewarganegaraan secara terpilih di negara ini.
Presiden Urimai, Dr. P. Ramasamy berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menyiasat secara menyeluruh bagaimana kewarganegaraan diberikan, dan mengapa ada pemohon perlu menunggu bertahun-tahun, sedangkan pemain bola asing dipercepatkan prosesnya.
Lebih serius, ujarnya, apabila ada dalam kalangan pemain asing yang digantung dan didenda oleh FIFA itu didakwa mengemukakan dokumen palsu atau dipalsukan.
“Nampaknya lebih mudah untuk merekrut pemain asing yang sering kali bukan bertaraf dunia, membayar mereka gaji lumayan dan kemudian mempercepatkan proses kewarganegaraan mereka.
“Sedangkan ribuan individu yang dilahirkan dan dibesarkan di negara ini masih menunggu untuk diberikan kewarganegaraan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Ramasamy, adalah sesuatu yang memalukan kepada kerajaan apabila mempercepatkan proses kewarganegaraan hanya kerana mereka adalah pemain bola sepak asing.
Malah, katanya, dengan kemasukan ramai pemain asing itu sekalipun, bola sepak Malaysia masih berada pada tahap yang menyedihkan.
“Saya ragu FIFA akan menggantung dan mendenda tujuh pemain kelahiran asing secara sewenang-wenangnya.
“FIFA bukanlah organisasi biasa, mereka juga ada reputasi yang perlu dipertahankan,” katanya.
Dakwa beliau, tidak syak lagi akses kepada kewarganegaraan di negara ini telah disalahgunakan oleh pihak berkepentingan yang berkuasa.
Sehubungan itu, beliau kurang yakin sebarang siasatan kerajaan mampu membongkar hakikat dan tahap sebenar penyalahgunaan ini.
“Terdapat keperluan mendesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap penyalahgunaan permohonan kewarganegaraan di negara ini.
“Bagaimana kita boleh berbangga dengan pasukan kebangsaan apabila hampir semua pemain adalah warga asing atau mereka yang diberi kewarganegaraan secara tergesa-gesa?” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, FAM dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027. – MalaysiaGazette
















