SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh komitmen sebagai universiti berteraskan kecemerlangan pelajar dengan melaksanakan Program Ziarah Kasih menjelang kemasukan pelajar baharu sesi akademik 2025/2026.
Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM ini bukan sahaja menyantuni pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, malah menjadi simbol keprihatinan universiti dalam memastikan setiap mahasiswa menerima sokongan holistik sepanjang pengajian, selaras dengan aspirasi True North UPM: Pengalaman pembelajaran dan kehidupan pelajar terbaik.
Siri ziarah yang dilaksanakan dari Kelantan hingga ke Pulau Pinang menemukan kisah-kisah inspirasi pelajar baharu yang tekad mengejar ilmu.
Antara mereka ialah Fatin Syamimi Ahmad Termizi dan Putri Shafiqah Aniya Uswira dari Kelantan.
Fatin Syamimi, yang terpilih ke program Bacelor Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian, hadir ke UPM untuk temu duga dengan penuh kesungguhan bersama kakaknya menaiki bas.
Sementara itu, Putri Shafiqah turut berkongsi keterujaannya untuk memulakan pengajian di UPM dalam Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian.
Walaupun berdepan dengan kekangan kewangan, semangat beliau untuk mendaftar sebagai pelajar UPM tidak pernah luntur.
Pasangan kembar Nagarani Ravi dan Nagadewi Ravi dari Pulau Pinang yang meraih PNGK 4.0 datang daripada keluarga serba kekurangan turut memilih bidang perakaunan di UPM.

Bapa mereka menghidap penyakit parkinson dan kini terlantar di rumah, manakala ibu mereka tidak mampu bekerja kerana perlu menjaga suami sepenuh masa.
Selain sokongan moral, UPM turut menyalurkan bantuan awal pengajian dengan kerjasama KPT dan Yayasan Perkasa Siswa, sekali gus mengurangkan beban kewangan keluarga.
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Noraihan Noordin berkata, Ziarah Kasih bukan sekadar program kebajikan, tetapi strategi universiti dalam membina keyakinan diri pelajar agar berkembang sepanjang bergelar mahasiswa.
“UPM mahu memastikan pelajar bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, malah turut cemerlang dalam kepimpinan, penyelidikan dan kebolehpasaran.
“Program Ziarah Kasih adalah titik mula sokongan berterusan universiti, seiring True North UPM yang menekankan pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik pelajar,” katanya.
Bagi memastikan kesejahteraan pelajar, UPM menyediakan skim bantuan kewangan, Tabung Prihatin Pelajar serta sokongan kebajikan seperti kediaman dan makanan agar keperluan asas mereka tidak terjejas.
Mahasiswa juga digalakkan mengasah kepimpinan melalui persatuan, Majlis Perwakilan Pelajar, kolej kediaman dan latihan kemahiran insaniah.
Daripada aspek akademik, pemantauan berjadual bersama penasihat akademik, sesi kaunseling serta program bimbingan rakan sebaya turut ditawarkan.
Program ini turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang meluangkan masa memberi ucapan semangat kepada pelajar melalui panggilan video.
Inisiatif sebegini membuktikan universiti bukan sekadar pusat ilmu, tetapi juga tempat membina insan seimbang yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Kisah-kisah yang diziarahi memperlihatkan wajah sebenar perjuangan mahasiswa daripada keluarga B40, komuniti Orang Asli dan ada yang berdepan cabaran kesihatan keluarga, namun tetap melangkah ke menara gading dengan penuh keyakinan.
Dengan pelaksanaan Ziarah Kasih, UPM menegaskan bahawa pendidikan tinggi adalah peluang terbuka untuk semua dan universiti berperanan memastikan setiap pelajar berpeluang berkembang sebagai insan holistik.
Usaha ini mengukuhkan kedudukan UPM sebagai universiti bereputasi global yang memberi pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik, selaras dengan aspirasi KPT. – MalaysiaGazette





![IMG_20250928_065934[1]](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/09/IMG_20250928_0659341-681x442.jpg)










