KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan berdepan detik cemas apabila dikepung sekumpulan penunggang motosikal yang berlagak samseng dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada pemandu kereta berusia 52 tahun sejurus selepas kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi.
“Kita sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu dan mengesan kesemua terlibat.
“Semakan mendapati, dianggarkan 20 penunggang motosikal terbabit dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain menyeru saksi tampil memberikan maklumat.
Rakaman kejadian berdurasi 29 saat itu tular di media sosial, memaparkan kereta dipandu lelaki berkenaan dikepung sekumpulan penunggang motosikal di jalan tersebut.
Dalam rakaman itu turut menunjukkan seorang penunggang motosikal bertindak menendang cermin sisi dan pintu kereta serta menghimpit bagi menghalang laluan kereta tersebut. – MalaysiaGazette















