KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas Kapar, Dr. Halimah Ali menyifatkan penurunan enam sen harga petrol menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) sebagai kecil dan tidak memberi impak ketara kepada ekonomi rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Perikatan Nasional (PN) berkata, penjimatan beberapa ringgit sebulan daripada pengisian minyak kereta itu langsung tidak mengimbangi beban sebenar yang ditanggung rakyat.
Ini kerana, jelasnya, rakyat kini sedang berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat mendadak daripada kenaikan harga barangan runcit, sewa rumah, bil utiliti sehinggalah kepada caj perkhidmatan.
“Tambahan pula, inflasi makanan dan keperluan asas kekal tinggi, malah gaji masih statik, menyebabkan kuasa beli rakyat terus terhimpit,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Selain itu, tambah Halimah, langkah pengurangan harga minyak menerusi BUDI95 juga lebih bersifat kosmetik daripada dasar ekonomi yang menyeluruh.
Menurut beliau, ia tidak menyelesaikan isu pokok seperti ketirisan subsidi, ketergantungan import makanan atau kegagalan kerajaan mengawal kenaikan harga barang.
Malah, tambahnya, pengusaha dan peniaga jarang menurunkan harga barang meskipun harga minyak diturunkan.
“Akhirnya, rakyat tidak merasai manfaat sebenar, sebaliknya terus dibebani dengan kos sara hidup yang meningkat tanpa strategi kerajaan yang berkesan untuk melindungi mereka,” katanya.
Inisiatif BUDI95 yang membolehkan rakyat Malaysia menerima harga siling kelayakan bulanan RON95 sebanyak 300 liter sebulan pada haga RM1.99/liter bermula secara rasmi kelmarin, membabitkan golongan pertama iaitu anggota tentera dan polis.
Ia akan diperluaskan kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah bermula esok. – MalaysiaGazette















