Gereja di Grand Blanc, Michigan yang terbakar dan menyebabkan sekurang-kurangnya empat maut.
NEW YORK – Sekurang-kurangnya empat maut manakala sembilan lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah gereja di Grand Blanc, negeri Michigan, Amerika Syarikat.
Kejadian berlaku di Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, sebuah komuniti kecil di barat laut Detroit.
Kebakaran besar turut tercetus selepas tembakan tersebut.
Ketua Polis Perbandaran Grand Blanc, William Renye dalam sidang akhbar berkata, mangsa yang cedera, termasuk dua yang berada dalam keadaan kritikal yang telah dihantar ke hospital berdekatan.
Tembakan dilepaskan ke arah orang ramai ketika satu perhimpunan besar berlangsung.
Suspek yang dikenali sebagai Thomas Jacob Sanford, 40, dari Burton, Michigan, kemudian ditembak mati oleh polis di tempat letak kereta gereja.
Pihak berkuasa sedang menyiasat insiden itu dan setakat ini motifnya masih tidak diketahui.
Beliau menambah, kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh sejam dan pihak berkuasa percaya suspek telah “dengan sengaja” membakar gereja tersebut.
Terdahulu, polis tempatan dalam kenyataan memaklumkan terdapat ramai mangsa dalam insiden tembakan itu dan keseluruhan bangunan gereja terbakar, sekali gus menggesa orang ramai menjauhi kawasan tersebut sementara operasi kecemasan dijalankan.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menulis di media sosial memaklumkan beliau telah diberi taklimat mengenai insiden tembakan “mengerikan” di Michigan itu.
Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer berkata beliau menerima perkembangan terkini mengenai kejadian di Grand Blanc.
“Hati saya hancur untuk komuniti Grand Blanc. Keganasan di mana-mana sahaja, terutamanya di rumah ibadat, adalah tidak boleh diterima,” tulis Whitmer di platform media sosial X. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast