KUANTAN – Kejayaan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) Pahang mencatat rekod keuntungan RM616 juta tahun lalu membuktikan usaha gigih, pengurusan yang teliti dan hala tuju yang jelas mampu membawa negeri ke tahap lebih baik.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, lebih membanggakan rekod ini membuktikan S-GLC Pahang kini mengungguli Pantai Timur sebagai model kecemerlangan, malah jauh mendahului negeri-negeri SG4.
Daripada peningkatan hasil, keuntungan bersih melonjak hingga berupaya menyalur ratusan juta ringgit kepada kerajaan negeri, sekali gus membuktikan S-GLC bukan sahaja menjadi nadi ekonomi tetapi juga benteng kestabilan kewangan negeri.
Kejayaan ini, tambahnya, menjadikan Pahang sebagai peneraju utama di Pantai Timur sekali gus mengangkat maruah negeri ini sebagai negeri contoh dalam aspek pengurusan korporat yang berwibawa.
“Kalau kita tilik dengan mata hati orang kampung, ibarat sawah yang diusahakan berpuluh tahun, hasilnya kini sudah menjadi padi yang menguning ranum, sedia dituai untuk memberi kenyang bukan hanya kepada pemilik sawah, tetapi seluruh warga desa.
“Begitulah kejayaan S-GLC yang hasilnya bukan sahaja kembali kepada kerajaan, tetapi turut mengalir manfaatnya kepada rakyat jelata dalam bentuk peluang pekerjaan, projek pembangunan, dan ruang kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Katanya, dengan pelaburan yang melangkaui sasaran, serta inisiatif baharu melalui Pahang Startup Roadmap 2030, Pahang tidak mahu bergantung kepada kekayaan tradisi tetapi bersedia mencipta ruang ekonomi baharu yang segar, kreatif dan berdaya saing.
S-GLC Pahang mencatatkan peningkatan hasil kepada RM3 bilion pada tahun 2024 berbanding RM2.4 bilion pada tahun sebelumnya dengan keuntungan bersih sebanyak RM616 juta. – MalaysiaGazette
















