Gelaran juara dimenangi oleh Badrul Hisham Mustafa (dua dari kiri) pada Cabaran Joran Selangor 2025 di Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Lebih 600 kaki pancing dari seluruh negara berhimpun di Tasik Bandaraya Kelana Jaya bagi menyertai Cabaran Joran Selangor 2025 semalam.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Kembara Media Events dengan sokongan Tourism Malaysia itu menerima penyertaan daripada pemancing dari Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.

Sambutan menggalakkan itu sekali gus membuktikan daya tarikannya sebagai acara rekreasi popular dalam kalendar pelancongan tempatan.

Menurut Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan, penganjuran kali ini bukan sahaja meriah dengan penyertaan malah berjaya mencapai matlamat lebih besar dalam usaha merancakkan pelancongan domestik sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Cabaran ini bukan sekadar pertandingan memancing, tetapi usaha bersama mengurangkan spesies ikan larangan di tasik awam serta mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem,” katanya.

Walaupun hujan renyai sejak awal pagi, pertandingan tetap berlangsung meriah dan peserta tidak patah semangat memburu tangkapan terbaik.

Gelaran juara dimenangi oleh Badrul Hisham Mustafa, 53, dari Kajang selepas berjaya menaikkan seekor Keli Afrika seberat 10.620 kilogram (kg) pada pukul 11.13 pagi.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan menjadi satu-satunya peserta dengan tangkapan melebihi 10 kilogram.

Naib juara disandang oleh Azhari Azizol Omar, 28, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur yang menaikkan Kap Rumput seberat 5.865 kg sekali gus meraih hadiah wang tunai RM3,000.

Tempat ketiga pula milik Ahmad Khairol Nizam Mohamad, 48, dari Lembah Subang, Petaling Jaya dengan tangkapan Kap Rumput seberat 5.725 kg membawa pulang RM1,000.

Sepanjang pertandingan, spesies Kap Rumput mendominasi kedudukan 10 teratas namun beberapa spesies lain turut berjaya dinaikkan seperti Haruan, Baung, Lampam, Tilapia, Peacock Bass (Peacook) dan Keli Afrika.

Secara keseluruhan, lebih 252 ekor ikan berjaya direkodkan, tetapi kelibat spesies Patin gagal muncul sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan kaki pancing.

Selain Tasik Kelana Jaya, dua lagi lokasi iaitu Tasik Aman dan Tasik Jaya turut dikenal pasti sebagai tasik komuniti dan tarikan pelancongan setempat yang berpotensi untuk dimajukan.

Aznan berkata, MBPJ berhasrat memperkasakan tasik-tasik di Petaling Jaya dengan konsep aktiviti air, riadah keluarga serta memberi penekanan kepada aspek kebersihan dan kelestarian.

Katanya, usaha ini bertujuan menjadikan tasik bukan sahaja lokasi memancing malah destinasi rekreasi keluarga yang bersih, indah dan mesra alam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast