KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan mengadakan sesi Town Hall Anti Buli bersama 200 pelajar sekolah menengah, 6 Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dialog itu dilakukan untuk mendapatkan maklum balas dalam kalangan pelajar.
“Ini strategi kami dengan Mara sebagai satu badan dan Insya-Allah pada 6 Oktober ini saya akan berdialog dan berbicara dengan anak-anak di sekolah.
“Kita akan jemput kira-kira 200 pelajar-pelajar sekolah menengah di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang bersama pasukan untuk tribunal anti-buli ini dan kita akan adakan dialog dengan mereka untuk mendapat pandangan anak-anak.
“Macam tadi pun, kalau kita perasan pandangan mereka agak berbeza dan mereka pun meletakkan banyak harapan kepada sistem yang mereka bawa supaya ada penerimaan bahawa wujudnya masalah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke Town Hall Antibuli bertajuk Generasi Tanpa Buli Peringkat Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Premiera Hotel, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Selain itu, Azalina berkata, sesi dialog bersama pihak berkepentingan itu selepas ini akan menyantuni Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Oktober ini.
“Mungkin awal Oktober ini kita akan bergerak ke KPT. Macam tadi pun, pandangan anak-anak (pelajar Mara) agak berbeza.
“Mereka meletakkan banyak harapan (tinggi) kepada sistem di bawah, bila ada masalah, ada penerimaan (untuk penyelesaian),” katanya.
Katanya, hasil dialog bersama pelajar-pelajar Mara, beliau mendapati ramai dalam kalangan mereka menyentuh soal kesedaran dan langkah pencegahan daripada perlakuan buli.
“Mereka juga bijak bercakap tentang kesedaran (anti buli) dan strategi pencegahan (buli).
“Saya rasa itu satu komen yang begitu positif sebab anak muda tahu bahawa ini masalahnya dan mungkin dalam kalangan rakan sebaya ini adalah masalah yang mereka tidak bersuara (sebelum ini),” katanya. – MalaysiaGazette
















