KEMALANGAN ngeri melibatkan lori dan beberapa kenderaan lain di di Plaza Tol Bukit Kajang semalam yang menyebabkan seorang bayi lelaki maut di lokasi. - Foto: IHSAN Bomba

KUALA LUMPUR – Kerajaan dituntut segera menjalankan audit menyeluruh terhadap semua syarikat pengangkutan lori susulan kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi berusia setahun dan mencederakan lapan individu lain, kelmarin.

Ketua Penerangan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, ia termasuk dari aspek penyelenggaraan kenderaan, kelayakan pemandu dan kepatuhan kepada had beban.

Menurut beliau, kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan 24 jam dilakukan secara secara konsisten di lebuh raya dengan menggunakan kamera pintar dan pusat pemantauan bersepadu, bukan hanya operasi bermusim.

Selain itu, ujarnya, hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap syarikat dan pemandu lori yang cuai termasuk penggantungan lesen syarikat dan denda tinggi serta hukuman jenayah jika terbukti cuai sehingga meragut nyawa.

Mohd Hamdan Mohd Sharif

Dalam masa sama, katanya, pembaharuan dasar nasional berkaitan pemanduan kenderaan berat juga perlu dilakukan termasuk had masa pemanduan untuk mengelakkan keletihan, serta standard penyelenggaraan yang lebih ketat.

“Berjasa ingin mengulangi pendirian bahawa kerajaan sepatutnya sudah mula agresif dalam mencari penyelesaian berkaitan isu kemalangan membabitkan kenderaan berat ini.

“Kerajaan wajib melaksanakan segera tindakan agresif tanpa sebarang rasa takut biarpun didesak pihak berkepentingan yang kemungkinan ada dalam kalangan penyokong politik pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian di Plaza Tol Bukit Kajang kelmarin, seorang bayi lelaki berusia setahun maut manakala lapan individu lain cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah lori yang dipercayai mengalami masalah brek.

Sementara itu, Mohd Hamdan berkata, insiden tersebut jelas menunjukkan lori dan kenderaan berat terus menjadi pembunuh senyap di atas jalan raya dan pihak berwajib masih gagal mengambil tindakan tegas dan berkesan untuk menanganinya.

Lebih membimbangkan, ujarnya, walaupun kenderaan berat hanya mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah trafik, ia menyumbang kepada lebih satu pertiga (34 peratus) daripada keseluruhan kemalangan maut di lebuh raya negara.

“Berjasa mengecam kelewatan dan kegagalan menteri pengangkutan untuk tampil dengan pelan tindakan yang konkrit, tegas dan menyeluruh dalam menangani isu ini.

“Kerajaan sepatutnya sedar sampai bilakah nyawa rakyat yang tidak bersalah akan terus melayang kerana kecuaian orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast