KUALA LUMPUR – Kertas kerja mengenai program rintis pengambilan warden bekas tentera di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) untuk menangani isu buli akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri sekiranya inisiatif itu berkesan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya usaha itu berjaya, beliau tidak menolak kemungkinan idea itu akan dibentang ke Kabinet untuk pelaksanaan di 57 MRSM seluruh negara dan institusi pendidikan lain.
“Kita lihat dulu perkembangan projek rintis enam bulan, sekiranya pengkaji-pengkaji Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat perkara ini positif, saya akan buat kertas kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga menteri tanggungjawab kepada Mara.
“Kemudian ia akan dibentang kepada Jemaah Menteri supaya melihat sama ada perkara ini boleh dilaksanakan di seluruh MRSM dan mungkin boleh dilaksanakan oleh institusi lain yang berkaitan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman hadir ke Town Hall Antibuli bertajuk Generasi Tanpa Buli Peringkat Mara di Premiera Hotel, di sini.
Sebelum ini, Mara melaksanakan projek rintis pengambilan warden bekas tentera di dua institusi pendidikannya, iaitu MRSM Balik Pulau dan MRSM Besut untuk menangani isu buli.
Pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan pesara anggota beruniform melalui tapisan ketat dan berpandukan garis panduan jelas mengenai skop kerja merupakan satu pendekatan yang Mara cuba cetuskan dengan teliti.
Menurut Asyraf, program perintis bukan sahaja untuk menangani isu buli semata-mata, bahkan bagi memperoleh maklum balas daripada guru-guru yang terbeban dengan tanggungjawab sebagai warden.
“Guru-guru ini mempunyai tugas (mengajar) hakiki. Tak mungkin mereka mampu untuk membuat pengawasan dan pemantauan secara berterusan.
“Ini kerana insiden buli perlakuan tidak bermoral ini biasanya berlaku di luar waktu akademik,” katanya. – MalaysiaGazette
















