KOTA TINGGI – Seorang pekerja kedai perkakasan maut selepas kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tun Sri Lanang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, nahas tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150 dengan sebuah kereta Perodua Alza.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 8.15 pagi semasa Perodua Alza datang dari arah Arked Mara Kota Tinggi menuju Bandar Kota Tinggi.
“Motosikal pula dari arah bertentangan. Perodua Alza kemudian masuk ke simpang lalu berlanggar dengan motosikal itu yang bergerak lurus,” katanya dalam kenyataan.
Penunggang terbabit, Azirul Farizal Shahputra Abd Wahab, 22, beralamat di Felda Air Tawar 2 di sini cedera parah di bahagian kepala dan serta pinggul.
Mangsa sempat dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi (HKT) namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Yusof memberitahu, mayat mangsa dibedah siasat di HKT manakala pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Tambahnya, pesaah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.- MalaysiaGazette
















