KUALA LUMPUR – Seorang pemilik syarikat yang menawarkan perkhidmatan pakej perkahwinan ditahan polis selepas dipercayai menipu pelanggan hingga menyebabkan kerugian keseluruhan mencecah lebih RM309,000.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima 11 laporan polis berhubung kes tersebut yang melibatkan mangsa dari beberapa daerah di negeri itu.
“Daripada jumlah itu, tujuh laporan diterima di Gombak, dua di Sungai Buloh, satu di Ampang Jaya dan satu lagi di Sepang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli berkata, siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik sebuah syarikat pakej perkahwinan.
Modus operandi suspek adalah dengan menawarkan pakej menarik sebelum meminta bayaran penuh secara dalam talian daripada mangsa.
Namun selepas bayaran dibuat, suspek gagal dihubungi dan tidak melaksanakan sebarang perkhidmatan seperti yang dijanjikan.
“Mangsa-mangsa menyedari mereka telah ditipu selepas usaha untuk menghubungi suspek gagal sebelum tampil membuat laporan polis,” tambah.
Susulan itu beliau berkata, polis telah membuka 11 kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebat serta denda.
“Polis telah berjaya menahan suspek dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” ujar Shazeli.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pakej perkahwinan dalam talian serta membuat semakan terlebih dahulu terhadap syarikat yang menawarkan perkhidmatan sedemikian.
Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan ke balai polis berdekatan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette
















